Posted on Wednesday, July 20, 2016

Kita ujian atau rahmat??

Bila tengok perbincangan di forum-forum di media massa tentang rumahtangga, ngeri rasanya. Begitu banyak isu, masalah, konflik yang membawa kepada ketidakbahagiaan, derita, air mata, dan berkesudahan dengan penceraian. Memetik satu buku motivasi yang saya baca baru-baru ini, bahawa, sekalipun kita merasa hidup kita ini trajis, ia adalah satu lumrah. Lumrah seorang manusia, yang bertaraf hamba hidup di dunia ini. Yang mana penciptaNya memang berhak mengujinya, bagi memilih siapakah yang bersabar dan beriman dengan ujian, atau sebaliknya, gagal, mempersoal takdir dan akhirnya dalam kekesalan berpanjangan. Dan masalah yang kita dengar, itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya ia berkitar pada perkara yang sama. Yang orang lain pernah alami, sekarang ini kita merasa!!

Tidak sedikit masalah yang diutarakan. Normal dan tipikalnya, wanita yang lebih ramai suka berkongsi masalah di media sosial. Mungkin fitrah wanita, suka meluahkan, fitrah lelaki, mulutnya dihati. Kalau saya nak senaraikan di sini, memang tak tersenaraikan oleh saya!! 

Membawa kepada saya untuk berfikir...apakah diri saya ini..adalah rahmat untuk suami atau ujian buat suami?? Yang boleh menjadi sumber ketenangan dan bahagia seorang suami, yang sama-sama merangkak menuju akhirat, menggunakan rumahtangga dan perkahwinan yang Allah berikan sebagai landasan untuk menjadi orang terbaik buat pasangan, disamping terus memperbaiki diri menjadi orang lebih baik dunia akhirat? Atau saya ini, ujian kesabaran suami saya, yang akan menyebabkan ketidaktenteraman hatinya, yang menjadi sumber kecelaruan fikiran dan menjadikan dia lebih jauh dari Allah??

Pilihan di tangan sendiri...

Muhasabah diri. Saya cuba mencari pengajaran dari masalah rumahtangga yang saya baca, gagalnya, puncanya, faktornya. Supaya saya belajar dari pengalaman orang lain dan mohon saya tidak melakukan yang serupa. Peluang berumahtangga dan mempunyai pasangan adalah rahmat Allah, pemberian, dan takdir. Namun, kitalah yang mencorakkannya bagaimana. Kedua-dua suami isteri kena ada usaha bersama-sama bagi mencari formula mensejahterakan rumahtangga mereka. Kita tidak boleh berhenti setakat berkahwin dan "Nah!! Aku dah kahwin...! Matlamat tercapai!" Tapi pengisian itu, masih merupakan satu perjalanan yang tidak terhenti sehingga ke akhirnya. 

Mulakan dari diri sendiri. Ada yang berkata: jangan sibuk mencari pasangan yang tepat dan sempurna, tapi jadilah pasangan yang tepat dan sempurna buat pasangan anda. Ada benarnya. Kerana apa? Kerana ia lebih mudah dari mencari orang yang memenuhi kriteria kita. Lebih mudah mencorak diri sendiri dari mencorak orang lain. 



Benarlah orang tua kata, nak kahwin itu mudah, nak mengekalkan rumahtangga itu payah!! Nakkan rumahtangga jadi syurgaku tak semudah menuturkannya. Tapi saya percaya satu perkara, jika agama dan iman itu ada dalam rumahtangga, in sya allah keberkatan itu ada. Jika kita menjaga agama, kita menjaga semua, secara automatik. Dan jauhnya perjalananku, masih jauh ke arah itu. Moga Allah permudahkan...

Sahabat, jika anda dalam kemelut rumahtangga ketika ini, tenang-tenangkan diri, muhasabah. Suami/isteri kita adalah manusia, dia juga tidak sempurna...ada kekurangan di mana-mana. Kita pun mungkin menyumbang kepada masalah yang ada. Yang penting, visi rumahtangga kita masih sama, dan bekerjalah bersama-sama memperbaikinya. Jangan ditanya siapa salah, siapa benar kerana ia selalunya membawa kepada ungkitan dan mencari letak kesalahan. Konflik akan berpanjangan dan tidak berkesudahan. Sedang rumahtangga sedang nazak mintak diselamatkan. Baiklah fikir solusi, perbaiki apa yg patut dan lihat apa jadi seterusnya. 

Moga kita menjadi rahmat buat pasangan kita, bukan sebaliknya.
Read More

0 Responses to Kita ujian atau rahmat??