Antara penyakit hati yang merbahaya dalam rumahtangga ialah ego. Ego ini tidak semestinya milik lelaki sahaja, wanita pun mempunyai keegoan tersendiri. Kenapa saya kata ego ialah penyakit merbahaya dalam rumahtangga? Kerana ego menyebabkan diri kita menjadi bongkak, dan sombong dalam mengakui kelemahan diri. Kita mungkin sedar akan hakikat tersebut, tapi ego menghalang kita untuk mengakuinya. Hati kita angkuh untuk menerima beban tanggungjawab kesalahan tersebut, dan lebih selesa jika pasangan kita yang menjadi sasaran pertuduhan dan punca masalah.
Ego menyebabkan masalah yang ada gagal diselesaikan. Sebabnya? Bagaimana hendak mencapai kata sepakat jika kedua-dua pihak atau salah satu pihak tidak mahu bertolak ansur dan mencari tolak ansur, dan memaafkan? Ego menghalang kesepakatan dan kemuafakatan berlaku. Ego menyebabkan pihak yang beralah menjadi tertekan. Pasangan kita mungkin cuba mengalah, tapi sedikit demi sedikit keadaan ini menyebabkan rasa tidak puas hati dan akan tiba satu ketika apabila pasangan tidak mampu lagi berhadapan dengan ego kita yang melangit. Ego tidak menyelamatkan rumahtangga, jauh sekali mendekatkan pasangan terhadap diri kita, tapi sebaliknya, ego menyebabkan pasangan kita semakin berjauh hati dan akhirnya mungkin mencari yang lain.
Apabila berlaku konflik dan perbalahan dalam rumahtangga, kedua-dua pihak perlu muhasabah diri. Masalah mungkin berlaku akibat perangai kedua-dua belah pihak. Kena sama-sama mengambil tanggungjawab itu, terbuka untuk mengakui keadaan tersebut dan hanya apabila keadaan ini berlaku barulah pasangan boleh move on dari konflik tersebut dan memperbaiki keadaan yang menjadi isu masalah. Amatlah malang, jika kita mencari sebab untuk menyalahkan orang lain semata-mata tapi menafikan diri sendiri juga mungkin faktor yang menjadi punca masalah.
Tanyalah ustaz dan kaunselor di pejabat agama. Jika ada perasaan ingin memperbaiki kesilapan, keinsafan bahwa diri sendiri mungkin juga menjadi punca keruhnya rumahtangga, maka lebih mudah konflik yang membawa pasangan ke meja kaunselor untuk diselesaikan. Mungkin datangnya dengan wajah mencuka, tapi kembali pada minggu akan datang dengan wajah ceria. Puncanya? Sama-sama muhasabah diri, sama-sama mahu perbaiki diri. Sebaliknya, pasangan yang bermain dengan ego, menyalahkan pasangan masing-masing, mengunjing pasangan, memperlekeh pasangan, tapi gagal melihat kelemahan sendiri, biasanya akan menyukarkan isu rumahtangga tersebut untuk diselesaikan. Kadang-kadang, kita tahu, pasangan ini masih sayang suami/isterinya, tapi sebab ego itu kelangit, perasaan itu enggan diakui, lebih senang untuk menunjukkan keegoan. Akhirnya diri sendiri yang rugi, perkara yang boleh diselesaikan akhirnya berkesudahan di meja hakim syariah, sehingga tertebus talak kerana permainan ego tadi.
Nampak tak?
So, jika anda ada masalah rumahtangga atau masalah peribadi yang lain sekalipun, tolong jangan libatkan ego sekali, kerana ia tidak pernah mendatangkan kebaikan. Sebelum orang lain mengunjing ego melangit kita, lebih baik kita muhasabah diri sendiri dan seikhlasnya cuba melihat kot-kot masalah yang ada sekarang, juga berpunca daripada kita. Itu lebih mudah dilakukan berbanding pasangan yang mengatakannya. Sesungguhnya orang yang ego ini begitu sukar mengaku kesalahan sendiri, kadang-kadang dia tahu dirinya bermasalah, dalam hati dia mengakui, tapi jika orang lain yang mengatakannya dia akan menafikan sekeras-kerasnya. Ego menghalangnya untuk berlaku jujur kepada keburukan diri sendiri.
Jika sayangkan rumahtangga, jadikan ego itu musuh utama kita. Jika selama ini ego menjadikan rumahtangga anda bermasalah, cubalah kali ini tukarkan strategi, ketepikan ego dan cuba lihat apakah perbezaan penyelesaian dan kesannya kepada hubungan anda suami isteri. Anda tidak boleh menukar cara orang lain, tapi anda pasti boleh mengubah diri sendiri. Dan opps, jangan pula mengatakan, kenapa saya yang kena ubah?? Kerana jika itu jawapan anda pada kenyataan saya, itu bermakna ego anda sedang berhujah. Gantikan dengan sesuatu yang positif: Hey, why not me??? Dalam rumahtangga tiada tempat untuk ego, hanya tolak ansur, pertimbangan, kasih sayang, belas ihsan, itu yang utama. Jadikan sikap-sikap yang membawa kebahagiaan dalam rumahtangga sebagai pakaian akhlak anda, sebagai cara anda menyantuni pasangan. Dan kalau boleh hapuskan sikap-sikap yang membawa kepada rumahtangga bermasalah. Itupun jika anda masih sayangkan rumahtangga. Jika anda tidak ambil peduli, itu bermakna anda memang ada masalah ego.
Berusahalah sebelum mengalah!
No comments:
Post a Comment