Showing posts with label baby. Show all posts
Showing posts with label baby. Show all posts

Tuesday, March 9, 2021

The Change of Plan - My Journey of Having A Syndrome Down Child


Salam Sejahtera,

Lama saya tidak mencatat apa-apa di blog ini. Seringkali saya menulis isu-isu kecantikan khususnya tentang produk saya pakai. Actually, blog ini lebih kepada tempat saya untuk wind down diri sendiri. Is like tempat untuk bersantaian dan chill out. 

Tapi kali ini saya hendak berkongsi sesuatu yang saya tidak pernah shared di sini. Bagi yang mengenali saya di luar mungkin apa yang saya lalui ini telah mereka ketahui, tapi bagi yang pernah membaca blog saya atau mengikuti blog saya atau terserempak dengan blog saya, mungkin tidak ada idea langsung tentang apa yang saya sedang alami sekarang. Ye, saya bukan individu yang suka berkongsi diri saya secara terbuka. Tetapi, saya merasakan ada baiknya saya berkongsi pengalaman saya yang melahirkan anak Syndrome Down, untuk berkongsi rasa kepada individu di luar sana yang mengalami perkara serupa, untuk mencari insiprasi dan mengutip kekuatan dalam menempuh satu peristiwa hidup yang mungkin tidak pernah terfikir kita akan hadapi. 

Inilah perancangan Allah untuk saya. Biar saya mulakan dengan berkongsi apa yang berlaku dari awal lagi iaitu semasa mengandung.

Saya mengandung pada usia 42 tahun. Ini kandungan yang ke-4, setelah mengalami 2 kali keguguran. Anak pertama saya bernama Muaz, Alhamdulillah dilahirkan sempurna, sihat, cerdas dan cergas. Setelah itu saya dan suami merancang pula untuk anak ke dua. Kami memang merancang untuk mempunyai 2 anak sahaja. Pengalaman mengandung saya kira sama sahaja dengan ketika mengandungkan Muaz. Alahan 3 bulan pertama, alahan dengan bau dapur dan masakan bergoreng. Jiran masak sebatu saya dah boleh hidu. Punyer kuat deria bau masa alahan tu sampai suami baru balik kerja saya boleh bau makanan melekat di bajunya. Selain dari itu, tiada apa-apa yang pelik. Kandungan membesar seperti biasa, check up macam biasa di klinik kesihatan. Saya tidak begitu kisah samada anak kedua ini lelaki atau perempuan. Asalkan sihat, itu yang lebih penting. 

Menginjak minggu ke-22 kehamilan, saya menjalani detail scan di sebuah klinik swasta. Ketika ini kita telah mula mengalami pandemik Covid-19. Walaupun doktor menyarankan ke hospital kerajaan biasa, tapi saya mengambil keputusan untuk ke klinik swasta bagi mengelak crowd yang ramai. Yelah risau dengan keadaan kita yang mengandung. Kita pun tak tahu kesan virus covid-19 kepada kandungan sebab ia virus baharu. jadi saya tidak mahu mengambil risiko.

Yang melakukan detail scan saya ketika itu ialah seorang sonographer. Mula-mula segalanya seperti biasa. Cuma setelah beberapa minit saya perasan dia asyik mengulang scan di tempat yang sama. Beberapa kali beliau buat macam tu. Akhirnya selepas beberapa ketika dia bersuara, "Puan, saya lihat sini macam ada short nasal bridge. Saya rasa kena refer dengan doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut." Kemudian saya baru maklum bahawa short nasal bridge ni sering dikaitkan dengan keadaan bayi yang menghidap sindrom down. Saya kemudian diberi surat rujukan ke hospital. Ketika ditanya hospital pilihan, saya lantas memilih hospital serdang, memandangkan saya merancang untuk bersalin di sana dan hospital serdang itu lebih dekat dan praktikal untuk saya dan suami atas pelbagai faktor.  

Bermulalah rutin saya setiap bulan menjalani detail scan di bawah pemantauan pakar OnG hospital masa itu. Kalau tak silap, Dr yang membuat detail scan setiap kali saya menjalani pemeriksaan di hospital ialah Dr Ramesh. Bersama dia selalunya ada seorang doktor lain dan seorang jururawat. Sebulan sekali saya menjalani detail scan. Apabila dah kerap kali ke hospital untuk bertemu pakar di klinik OnG, saya mula perasan bahawa ibu-ibu yang bertemu Dr Ramesh biasanya mempunyai isu/masalah yang perlu dipantau lanjut. Bukan semua ibu-ibu yang menjalani pemeriksaan di klinik ibu mengandung di hospital Serdang akan bertemua Dr Ramesh. Jadi, dalam debaran, saya mula merasakan bahawa anak yang dikandung ini sememangnya mempunyai isu. 

Hasil scan Dr mendapati saiz anak saya memang kecil sedikit, dan beberapa perkara dikenalpasti seperti telinganya yang agak ke bawah, ukuran tulang tangan/kaki yang sedikit pendek dari purata saiz biasa bayi dalam usia kandungan yang sama. Ketika itu, tanda-tanda ini semuanya dikategorikan sebagai soft markers. Maksudnya, ia mungkin petanda sindrom down atau pun tidak.

Doktor kemudiannya mencadangkan untuk saya mengambil ujian darah bagi mengenalpasti risiko bayi sindrom down. Setelah berbincang dengan suami, maka kami bersetuju untuk menjalani ujian fasa seterusnya. Kenapa? Kerana saya tidak mahu berteka teki pada sesuatu yang penting seperti ini. Saya tidak mahu hanya mengharapkan yang terbaik dan masa yang sama denial bahawa kandungan saya perlukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaan bayi berada dalam keadaan sepatutnya. Mungkin ada orang merasakan, lebih baik jangan buat apa-apa tapi tunggu sahaja selepas lahir nanti. Setiap orang ada cara masing-masing. Rasional saya ketika itu ialah, saya lebih tenang untuk pasti keadaan anak dalam kandungan daripada meneka dalam kesamaran. Berita baik atau berita buruk, kita boleh tahu apa next move kita. Berbanding kalau masih dalam keadaan berteka-teki. Ia lebih stressful pada pendapat saya. 

Maka kami proceed dengan ujian darah. Dan penantian itu satu penyeksaan. 

Bohong kalau kita tenang-tenang ajer. Saya cuba menjalani hari-hari seperti biasa tetapi pada masa yang sama, berdebar-debar menunggu keputusan ujian darah. Sentiasa berdoa dengan Allah moga segalanya baik-baik ajer. Dalam tempoh menanti ini, setiap hari saya mencari maklumat tentang ujian darah bagi mengesan sindrom down. Pelbagai cerita saya dapat, ada yang didiagnosed sindrom down tapi ternyata anak lahir normal dan sebagainya. Jadi, kita sebagai ibu yang sentiasa mengharapkan anak kita sihat dan normal of course mengharapkan cerita kita juga serupa....

Tapi..

Keputusan ujian darah mendapati  risiko sindrom down adalah tinggi. Dr seterusnya mencadangkan untuk saya menjalani amniocentesis test. Amnio test ini ketepatannya adalah melebihi 90%. Kami bersetuju untuk menjalani amiocentesis test, once and for all. Sudah cukup rasanya menempuh fasa debaran, ketidakpastian, ini fasa untuk mengesahkan dan whats next bagi saya. 

Sementara menanti untuk menjalani amniocentesis test, saya merasai pelbagai emosi, kebanyakannya adalah sedih. Walaupun tidak ada pengesahan muktamad lagi, tapi hasil ujian darah ini menjadikan saya berfikir banyak perkara.

1. Kemampuan saya sendiri untuk menjaga anak yang menghidap sindrom down. Mampukah saya? Itulah soalan yang berlegar-legar di kepala saya. Saya tidak tahu dan tidak pasti samada saya memiliki keupayaan itu. Saya takut. Takut tak mampu. 

2. Sedih mengenangkan kami suami isteri selalu mengimpikan teman bermain untuk Muaz. Dia akan mempunyai adik yang menjadi teman di rumah, bermain bersama, membesar bersama, saling menyokong bersama. Kini, segalanya jadi tidak pasti. Bagaimanakah rupanya masa depan yang akan didepani? Saya tidak pasti...sedih kerana saya bukan memberikan teman bermain utk Muaz, sebaliknya beban? Beban tanggungjawab seorang abang menjaga adik yang tidak normal. Sepertinya sudah awal-awal lagi Muaz diberikan satu peranan yang maha besar yang akan dipikulnya untuk tempoh yang lama dan panjang. 

Dalam doa, sepertinya masih bertimbang tara dengan Tuhan, mengharapkan ini semua tidak akan menjadi kenyataan! Masih mengharapkan keajaiban. Suami banyak bertanya kepada saya tentang sindrom down. Kadang-kadang soalannya berulang-ulang seperti: sindrom down ni nanti boleh sembuh kan? Saya tidak menyalahkan dia. Ada ramai orang tidak tahu tentang kondisi sindrom down ini. Luckily saya dalam bidang psikologi dan memang ada belajar tentang penyakit berkaitan genetik dan kromosom. Sindrom down antara penyakit yang saya belajar ketika itu, jadi asas pengetahuan telah ada. Soalan berulang-ulang itu juga mungkin sebab dia masih mengharapkan keadaan anak kami nanti beransur baik, anak akan normal macam anak orang lain. Sampai satu hari dia bertanya lagi soalan sama. Dan saya menjawab: "bang, sindrom down tidak boleh disembuhkan. ia satu keadaan yang kekal sepanjang hayat." dan sesudah itu suami saya berhenti bertanya. Agaknya perasan saya sudah mula jengkel dengan soalan yang sama. Mungkin juga dia telah mendapat kepastian yang diinginkannya. Mungkin juga untuk menduga emosi saya samada telah bersedia atau sebaliknya.

Fasa penerimaan. Fasa penerimaan adalah journey yang kita kena lalui sendirian. Cepat atau lambat, ia tidak boleh dipaksa-paksa. Saya kira, suami sedikit lambat untuk menerima hakikat bahawa bayi kami akan menghadapi satu kondisi ketidakupayaan yang kekal. Saya tidak sesekali menyalahkan dia. Kerana saya tahu fasa penerimaan kita berbeza. Saya hanya dapat menjelaskan apa yang biasanya berlaku kepada bayi sindrom down dan bagaimana kita dapat membantu supaya anak ini nanti boleh menjalani hidup yang baik dan berkualiti. Saya kira beruntung kerana suami agak cepat menerima realiti keadaan anak kami. Saya tahu ada di luar sana ada suami isteri yang hubungannya menjadi tegang kerana hal seperti ini. Fasa penerimaan tidak sama, misalannya, isteri menerima dengan cepat tetapi suami masih denial, atau suami isteri masih denial. Ada yang mengambil masa bertahun sebelum dapat menerima kenyataan. Sesungguhnya tidak mudah untuk berdamai dengan takdir yang kita tidak jangka, jauh sekali dari yang kita inginkan. Tapi Allah maha halus perancangannya. Tiada jalan melainkan bersabar, dan mengharapkan satu hari setiap pasangan yang menempuh situasi begini akan akhirnya bergandingan menyelusuri takdir dengan fasa redha yang sama. Again, ini adalah perjalanan peribadi yang tidak boleh dipaksa. Jika situasi ini yang anda sedang alami, berdoalah semoga anda dan pasangan berada pada muka surat yang sama [on the same page].

Berbalik kepada ujian amniocentesis. Hari kejadian saya pergi ke klinik pakar seperti biasa. Apabila tiba giliran, saya diminta berbaring dan perut saya disapu dengan ubat sapu bius setempat. Jarum yang digunakan untuk mengambil air ketuban memang panjang dan agak besar. Sekali pandang memang kita rasa seram ajer. Sebelum menjalani ujian ini doktor dah menjelaskan risiko yang mungkin berlaku seperti keguguran dan kecederaan pada bayi. Tapi nisbah dan peratusannya adalah kecil. Saya tawakal sahaja. Tidak berubah pendirian. Saya fikir, kalau bersalin pun kita boleh lalui, apa lagi amniocentesis ini. Ia prosedur biasa, seperti mengambil darah juga. Sebelum jarum dicucuk menembusi perut, scan dilakukan bagi mengesan kedudukan bayi. Ini bagi memastikan jarum yang akan masuk nanti tidak terkena bayi. Alhamdulillah sekejap sahaja prosedur tersebut dan lubang kesan jarum tadi ditampal dengan plaster biasa. Saya kemudian diminta untuk berbaring dan berehat di satu katil selama lebih kurang 2 jam. Saya tak recall apa-apa yang pelik selepas ujian tersebut. Tiada rasa sakit yang membimbangkan dan sebagainya. Keputusan amniocentesis hanya akan diketahui pada temujanji akan datang iaitu lebih kurang sebulan. Saya pun balik ke rumah.

Dan perasaan bimbang dan mengharap yang baik-baik bercampur baur. Sungguh penantian itu satu penyeksaan. 

Takdir telah tersurat. Memang berdebar-debar ketika datang untuk pertemuan seterusnya. Dan apabila keputusan diserahkan ke tangan dan mendengar penjelasan lanjut doktor, maka saya berkata pada diri, takdir ini telah tersurat, walau keinginan sangat kuat agar semua ini mimpi dan keputusan ujian menjadi sebaliknya, tapi ternyata tidak berlaku. Kenyataan telah terhidang di depan mata. Menghadam fakta. Perit rasanya. Saya tidak menangis dikhalayak, tidak juga di hadapan suami, tapi saya menangis di hadapan tuhan. Masih cuba memahami...adakah ini tragedi? ujian? rahmat?

Dignosis awal mengatakan sindrom down anak saya adalah Trisomy 21 [ada 3 jenis sindrom down: trisomy 21, mosaic dan translocation. boleh rujuk google untuk lanjut], dan 3 pasang kromosom pada genetik ke-21 dalam bentuk gambar turut disertakan. Gambar hasil diagnosis genetik air ketuban tempoh hari. Punca dilaporkan ialah sporadic, dalam erti kata lain ia berlaku secara semulajadi, rawak, kebetulan. Berlaku kecelaruan ketika proses pembahagian kromosom. Unfortunate event? Maybe, tapi ia bukan kebetulan. Sesungguhnya Allah menentukan, sesuai dengan takdirnya. 

Selain check up berkala di klinik kesihatan, saya juga tetap menjalani pemeriksaan pakar setiap bulan di hospital serdang sehingga hari saya melahirkan anak pada 17hb Julai 2020. 

Ini adalah takdir yang saya tidak pernah duga dan jauh sekali untuk rancang. Kita ada bayangan yang baik-baik dalam impian dan harapan kita, dan semestinya dikurniakan anak dengan sindrom down bukanlah salah satunya. Tiada ibu bapa dengan fikiran waras akan berharap: "aku nak ada anak kurang upaya/sakit." Tapi siapa kita untuk menentukannya?

Kerana itu saya katakan inilah game changer kehidupan saya -- the change of plan. Lantas, teringat saya satu quote yang kita biasa terbaca di mana-mana iaitu: Kita merancang, namun Allah juga merancang. Dan sesungguhnya perancangan Allah itulah yang terbaik. Dulu saya sekadar baca sahaja, namun dengan kenyataan yang terbentang di hadapan mata sekarang, buat pertama kali saya belajar untuk bukan sahaja membacanya, tapi menjiwai maksudnya sedalam-dalamnya. 

Ternyata Allah ada perancangan lain untuk keluarga saya. 

--bersambung








Monday, July 27, 2020

Pengalaman Bersalin Induce Bhgn 1

Salam Sejahtera,

Saya telah selamat melahirkan anak ke-2, Ahmad Muqri tanggal 17hb Julai 2020 tempoh hari di Hospital Serdang. Bayi saya seberat 2.5kg. Seperti Ahmad Muaz, bayi ke-2 ini juga lahir di Hospital Serdang. Personally, saya memang percaya hospital kerajaan lebih dari swasta. Walaupun sesak, dan terpaksa menunggu katil-katil kosong nak masuk ward, tapi servis dan perkhidmatan mereka terbaik. So far saya tidak ada pengalaman buruk lagi melahirkan bayi di Hospital Serdang. Isu katil penuh itu pada saya biasa bagi kebanyakan hospital kerajaan dan kadang-kadang terpaksa pula bermalam di wad kelas berbeza dari yang sepatutnya kita dapat, but overall, okay. Maybe physical facilities such as toilet for patients and fans yang perlu dimaintain dengan baik coz toilet kat ward ada yang uzur dan tidak boleh digunakan dengan baik. 

Saya melahirkan Muqri secara induce pada minggu kehamilan ke-38 pada hari saya buat check up. Doc yang scan perut saya ketika itu tidak happy dengan keadaan uri yang high resistance katanya waktu itu. Dalam bahasa mudah, aliran oksigen, darah, lain-lain di antara uri dan bayi tidak berada dalam kondisi yang ideal dan mencukupi untuk bayi. Doc merasakan jika dibiarkan berlarutan ia boleh memudaratkan bayi yang sepenuhnya bergantung kepada uri. So doc suggested saya ketika itu juga untuk masuk ward dan bersalin induce. Katanya saya pun dah 38 minggu, bayi cukup matang dan berat bayi dah lebih 2 kg. Saya agak terkejut jugak dengan cadangan itu memandangkan tiada persiapan dan persediaan masuk ward pun hari tuh. Barang kelengkapan masuk hospital memang telah tersedia tapi di rumah. Lepas berbincang dengan doc, dia kata okay boleh balik and ambik barang but kena warded hari tu jugak. So me and husband pun balik rumah, bagi tau my mom/sis and siap lunch dulu di rumah sebelum ke hospital semula. Sampai dalam jam 4 petang untuk daftar masuk. As expected, katil penuh and had to wait. Masuk 15hb, sempatlah bermalam di dewan bersalin semalam sebelum malam 16hb itu dapat katil. Tapi sebelum tu, doc and nurse dah siap-siap buat bacaan ctg, ambil darah, check bukaan semua di dewan bersalin sementara menanti masuk ke wad. Memang ramai sangat time saya masuk tu, hinggakan tempat menunggu pun penuh dengan ibu-ibu mengandung. Oleh kerana dewan bersalin dekat dengan labour room, dengar jugaklah bunyi bayi nangis dan ibu-ibu yang jerit sakit. Ha, dah kengiluan di situ. Tetiba rasa takut nak menempuh sakit bersalin. 

Sempatlah berborak dengan ibu-ibu yang lain di dewan bersalin sementara menanti katil masing-masing. Kebetulan, mostly yang saya berborak tu semua kena induce atas pelbagai sebab. Mostly juga tahu bahawa induce adalah proses kelahiran buatan dan lebih sakit dari kelahiran semulajadi. Cuak dah masing-masing. Dari pembacaan rata-rata mengatakan memang sakit. So memang seriaulah nak menghadapi saat induce itu. Tambahan pula dengan polisi baharu di hospital yang mana para suami tidak dibenarkan menjadi teman bersalin ibu kerana COVID-19. So bayangkan kita menghadap sakit kontraksi sorang-sorang tanpa suami sebagai penguat semangat. Dulu husband teman di LB sampai selamat melahirkan Muaz. Suamilah tempat tangan ni berpaut, dialah yang bagi support suruh push-push dan suapkan air kosong dan biskut untuk kita makan sikit bagi energy tu ada. Now, ada nurses and docs saje. Mereka pun bukan statik nak teman kita sepanjang masa, mereka kan sentiasa bergerak menguruskan pelbagai perkara, so mostly memang kena hadap sakit sesorang. Terfikir juga time tu aih cukup kuatkah aku nak menahan sakit bersalin ini seseorang?? Hati ni tawakal kepada Allah sajalah. 

Semasa pemeriksaan di dewan bersalin, doc menjelaskan pada saya bahawa induce hanya diberikan apabila berada di wad, so bila dah masuk wad tu baharulah proses induce dilakukan. Dari pembacaan, proses induce ni boleh jadi cepat atau lambat dan menyakitkan bergantung kepada respons badan masing-masing. Ada yang berhari-hari juga menahan kontraksi tanpa bukaan mencukupi dan mengulangi proses induce beberapa kali sebelum dapat melahirkan. Ataupun, dalam kes-kes tertentu berakhir di meja bedah - c-zer emergency. Haiya..nerbes mak!!

Wednesday, May 2, 2018

Bila Muaz demam tumbuh gigi - petua jaga anak demam


Muaz ku sayang

Sakit adalah perkataan yang seram bagi kebanyakan ibu bapa beranak kecil. Memang tidak dinafikan babies kerap sakit kerana imun sistem yang masih rendah dan tidak stabil. Demam malah adalah perkara biasa bagi anak-anak kecil. Tapi ibu bapa kebanyakannya tetap ada kerisauan takut demam yang dianggap biasa itu sebenarnya lebih sekadar demam biasa.

Muaz dah masuk 4 hari demam. Hari ini nampak lebih baik  semalam. Sejak Sabtu suhu badan Muaz tak stabil, makan ubat jer yang okay, kalau tak makan ubat, akan naik 38c dan ke atas. Dengan tak mahu makan, minum dan menyusu. Jem sekejap  mama. Kalau dah panas tinggi sure merengek. Menambah perasa demam Muaz ialah dia tengah tumbuh gigi.  Berganda jadinya. Akibatnya, hari ini terpaksa mohon cuti untuk jaga Muaz. Walhal kalau ikut jadual, sangatlah busy, memandangkan minggu depan tiada kuliah kerana memberi laluan hari mengundi. 

Bila anak sakit, sure mama pun ikut sekali tak lena tidur dan makan pun tak menentu. Mana yang sempat ajer. Now, dah start bersin, agaknya tak cukup rehat dan makan pun tak menentu, penat mungkin. 

Petua saya mungkin dah selalu baca, tapi ini yang saya lakukan untuk mengawal demam panas Muaz.

1. Mandi -- Doc pesan mandi macam biasa. Ini berlawanan dengan petua yg biasa kita dengar dari mak bapak kita iaitu jangan mandi nanti panas terkurung. Tapi melalui pembacaan, mandi ketika demam ada manfaat iaitu membenarkan panas keluar. Terbalikkan? So, saya tetap mandikan Muaz sekurang-kurangnya sekali sehari, sebelah pagi dengan air suam suku. Ini untuk meredakan panas badan sekaligus memberi rasa selesa kepada Muaz. Dia cukup suka mandi. Bila mandi, hingusnya pun keluar banyak. Ini pun saya baca bahawa mandi sebenarnya okay ketika selsema kerana membantu mengeluarkan hingus dengan lebih baik. Kalau tak mandikan, saya make sure Muaz dilap badannnya dengan air suam. 

2. Jaram -- betul ker saya panggil nih? Saya jaram kepala Muaz dengan daun bunga raya dengan yang diramas sehingga mengeluarkan lendir seperti lidah buaya. Jaram dalam 30 minit kemudian bilas. Selain membantu mengurangkan kepanasan badan, ia juga baik untuk rambut. Saya perasan rambut Muaz bertambah lembut dan beralun. Ahaks!

3. Tepid sponging -- bahasa orang kita ialah jaram badan dengan tuala basah terutama di tempat-tempat seperti dahi, ketiak, pelipat tangan dan kaki. Ni saya buat bila terasa panas badan Muaz meningkat mendadak. Selalu saya biarkan saja towel basah di dahi Muaz dan di badannya selepas melakukan tepid sponging nih. Kena buat kerap. Risau baby kena demam tarik. 

4. Sub paracetamol -- saya panggil ubat bontot. This is the must saya kira terutama saat kecemasan. Ia berkesan menurunkan panas dengan cepat. Hari tu doc bagi banyak kerana demam Muaz tinggi. Dua hari pakai ini sahaja. Now selang seli dengan ubat makan paracetamol. Kalau panas tinggi semacam, saya pakai ubat bontot ajer. Mula-mula seriau pandai ke tidak nak letak ubat ni kat bontot Muaz. Tapi kan, ibu ni lain. Demi anaknya, yang tak pandai akan sanggup dipandaikan. hihi. Now dah pro jugaklah. Ayah Muaz tak boleh challenge. Untuk memudahkan proses memasukkan ubat ini, kena guna pelincir yg sesuai. Kebetulan di rumah ada lidah buaya yg saya beli dari farmasi, so pakai ajer itu. 100% alovera, sejuk lagi. Alhamdulillah Muaz okay tak nangis atau meronta2. Tapi 3 kali jugak ubat terbuang sebab lepas masukkan ubat Muaz berakkan balik ubat tu tak sampai sejam. 

5. Air putih -- panas badan ni boleh sebabkan dehidrat. Muaz menolak solid food dan susu pun bila dipaksa. Dengan tak mahu makan dan minum risau dia lagi sakit. Tapi nasib baik dia tak menolak air putih. So kena kerap bagi air putih supaya tidak dehidrat dan melegakan tekak kering akibat batuk. 

6. Baju yg selesa -- Muaz banyak baju berkerawang/berlubang. So memang tak pakai baju tebal. Kalau badannya panas, pakaikan seluar atau baju sahaja dan biarkan dia pakai diaper. 

7. Udara segar -- kalau nak carik segar tahap sawah padi or padang hijau memang lambatlah cerita. Segar ni maksud saya bilik tak berbahang, pengudaraan cukup baik dan suhu selesa. So, bila demam ni berkampung kami anak beranak kat living room. Bawah ni rasa lebih baik pengudaraannya mungkin kerana ruang yg lebih terbuka. Bilik tidur memang ada aircon tapi time demam pakai aircon tak sesuai. 

8. Cukup dos kasih sayang -- muahaha. Pernah bawak Muaz jumpa satu doc ni dulu yg nasihatnya buat saya agak terpinga-pinga. Muaz time tu dengan hidung sumbat dan dada berbunyi kerana kahak yg banyak. Kira nak mintak neb lah kan. Akhirnya kami tiga beranak balik tangan kosong tanpa apa-apa preskripsi ubat. Doc tu cuma cakap biasalah budak demam, awak bagi perhatian lebih jer, bagi kasih sayang banyak2. Aha iyelah doc. Bawak jumpa ni pun sebab kasih sayanglah. Tak sanggup dengar dia merengek tak lena tidur kerana hidung tersumbat dan kahak banyak sampai termuntah2. Kalau dah tahap macam ni, kasih sayang peluk cium tak mencukupi. Kena jugak bantuan ubatan. BTW, time nilah kena beri perhatian lebih, manjakan, peluk cium dan kendong anak agar dia rasa selesa.

Itu saja kot yg saya mostly buat untuk demam Muaz. Bab sapu minyak angin pula memanglah acara wajib. Macam-macam pernah try, tapi saya rasa Muaz serasi ubat minyak angin cap yuyi. 

Monday, November 27, 2017

Ibu Bekerja dan Shopping Online

Borong satu kotak terus!! 4 packs x 58pc only RM79.90. Murahlah kan. Kalau tak RM100+ jugak
Bila dah ada baby, kaki dah semakin pendek. Dont take literally, maksudnya dah tak sama macam single and belum ada anak. Now, sangat terasa jugalah perubahan tu. Dulu, nak ke mana-mana boleh shoot anytime. Now dah beli barang dapur pun terpaksa tunggu husband. Dulu pergi sama-sama now kena husband pergi seorang. Kesian husband shopping barang sorang-sorang, banyak pulak tuh. Tapi rasanya sementara sahaja. Tunggu baby dah besar sikit, baru boleh on semula shopping bersama-sama. Now belum pun 6 bulan, masih kecik dan saya masih berhati-hati untuk mendedahkan Muaz dengan persekitaran luar dan tempat-tempat awam kerana sistem imun masih rendah dan masih ada banyak round suntikan yang perlu diambil untuk vaksinnya.

Angkut sikit-sikit bawak balik rumah. Now ofis dah jadi store barang baby. Huk huk!

Sebagai alternatifnya, now saya dah mula banyak shopping online. Dulu ada jugak, tapi tak sehebat sekarang. Hehe. Saya biasanya shopping di Lazada, Shoppe, Excessbook & 11street. Ada jugak website lain tapi tak cuba lagi. Saya shopping disini mostly untuk barang baby terutamanya diapers, baby wipes, toys, & books. Jadi jimat dah masa dan wang untuk pergi ke butik baby. Lagipun, barang beli online dapat penjimatan hebat. Contohnya diapers baby boleh beli banyak sekali satu kotak dapat sehingga 30% off. Tu belum lagi kalau ada baby fair macam yang tengah on di Lazada sekarang. So, tak perlu berpanas, buang minyak petrol yang semakin mahal. Click online, shopping, pilih barang, buat payment and tunggu barang sampai kat pejabat. Mudah kan?? 

baby wipes fiffy. saya suka baby wipes fiffy. beli banyak dapat murah. zaman sekarang kena bijak membeli :-)


Sekarang ni kena redha dululah terpaksa bershopping online. Tapi banyak jugak kebaikannya. Cuma kena pilih website yang kita percaya dan bacalah review produk dulu sebelum memutuskan untuk membeli. Pentingnya reviews untuk melihat servis dan kualiti produk yang kita nak beli. So far, setakat barang keperluan baby memang puas hati. Cuma susu untuk baby saya nampak macam tak jauh beza, susah nak diskaun banyak, yelah susu baby kira barang mahal. Jadi beli di supermarket biasa masih tidak merugikan. 

2-3 bulan jugaklah nak menghabiskannya. 

lemon + ginger + madu kelulut. bekal minuman herba ke pejabat pagi ni. slurp!!


Tak sabar tunggu baby besar nak ajak dia shopping :-)


Tuesday, November 21, 2017

First day of work after a long maternity leave and taska for Muaz


Muaz and teacher. Bambam!!


Salam Selasa!!

Just a quick entry,

Hari ni dah masuk hari ke dua saya kembali bekerja; dan juga hari ke dua baby Muaz saya hantar ke taska. Bersemangat hendak kembali bekerja, apatah lagi Jumaat ini saya menjadi penilai dalaman untuk tesis PhD. Di tangan sekarang ini ada 3 tesis - 2 tesis PhD dan 1 tesis Master untuk dinilai dalam jangka masa terdekat. Sementelah saya tak mengajar semester ini, baiklah saya pulun baca dan juga, mengalas kembali tanggungjawab sebagai penyelaras program master kaunseling. 

Okay, back to main topic, soal pengasuh. Saya ada nasihat kepada mereka yang perlu menghantar anak ke pengasuh apabila kembali bekerja nanti. Nasihat saya ialah, tolong cari awal-awal!! Ini pengalaman sendiri. Saya ingat, dalam pantang nanti sementara bercuti 3 bulan, saya punya cukup masa untuk mencari pengasuh. Nada!! So, kalau dah pregnant tuh, baiklah awal-awal pergi survey yer. Jangan macam akak nih!! Kesudahnya Muaz saya masukkan ke taska.

Mencari taska pun cabaran jugak. Saya pertimbangkan 2 perkara, kena dekat samada dekat dengan pejabat (UKM) atau dekat dengan rumah. Either way, boleh. And of course, taska tu biarlah berdaftar dengan JKM. Konfiden sikit nak hantar. Ni nak hantar anak, bukan kucing bukan barang. ANAK!! Walaupun dekat dengan rumah tapi kalau takde bawah JKM, saya tak mau ambil risiko. Berhari-hari jugak mencari, akhirnya saya dapat hantar anak ke taska di seksyen 3 tambahan. Sesat barat jugak mula-mula saya dan husband cari taska ni dek kerana waze. Adeh!! Tapi bila dah bercakap dengan ownernya saya rasa yakin dan bila bercakap dengan teacher-teacher yang nak jaga baby kita, saya rasa ada konfiden juga. So tawakal lah. So far dah 2 hari, alhamdulillah nampak okey. Macam semalam, baby balik dari taska pun dah petang, dia main2 kejap ngan mamanya ini, pastu tidur macam rutin biasa. Muaz tidur dalam jam 6-7 petang setiap hari. Harap-harap baby Muaz ku di situ sihat sejahtera. Sentiasa doakan dia dilindungi Allah swt. Cuma semalam, dek kepenatan first day keja kot, tertido sekali dengan Muaz, jam 9 baru terjaga itupun sebab husband call. Kebetulan dia on the way balik rumah. Sejuk hati bila husband cakap 'okay takpe, nanti abang beli makan. penat tuh baru first day kerja and hantar Muaz ke taska".

Cuma semalam first day hantar tu ada kelam kabut sikit sebab nak siapkan baby car seat dia, nak masukkan tilam, barang, siapkan dia kejap, siapkan diri sendiri dan sebagainya. Muaz pulakk menangis dalam tengah kelam kabut nak siapkan barang-barang semua. Tebalkan jerlah telinga sekejap dengar suara dia nangis kuat tuh pastu baru masukkan dia dalam kereta dan gerak ke taska. Nak sampai taska tu saya kena tawaf seksyen 3 dua kali!! Adeh berasap jugak ler, ni semua gara-gara waze nih. Dekat pukul 9 jugak baru jumpa taska tu balik. Ntah ke mana-mana di hantarnya diriku ini. Terpaksa pakai kaedah try and error, cuba ingat jejak kami mula-mula melawat hari tuh, walaupun sesat jugak, tapi try ingat beberapa landmark jalan yang betul. 

Inilah transisi yang saya alami. Takdelah stres, cuma saya anggap ini cabaran yang saya perlu lebih cekap tangani. Of course ada hiccup here and there, but, hey, saya tak expect saya terus sempurna dalam menjalani perubahan ini. So cool sahaja. Bersemangat pun ya jugak. Muaz tu pada saya seperti stopwatch saya. Dia mendorong saya untuk fokus kepada apa yang penting. Saya jadi lebih efisien menggunakan masa. Tak boleh lagha2, nanti kerja tak siap! Bila Muaz tidur, saya berperang di rumah untuk siapkan apa-apa kerja rumah sebelum dia bangun. Bila Muaz bangun perhatian terarah kepada dia sebab dia masih baby lagi dan belum tahu cara nak hiburkan diri sendiri. Kalau tak nampak saya tu dah teriak! Macam tu jugak, saya jadi lebih berhati-hati dengan masa di pejabat sebab kalau saya berlengah, kerja tertangguh, dan saya sukar buat masa ini bawa kerja di rumah kerana ada baby kecil yang perlu perhatian. So, in a away, baby pada saya tak semestinya buat you jadi tak dapat nak buat kerja apa-apa pun. Kalau betul caranya, baby membantu kita menjadi lebih efektif dalam menggunakan masa. 




Tuesday, October 31, 2017

Cenderahati untuk new baby & mom




Dulu masa single, membeli present untuk new mom agak confusing kerana tiada pengalaman. SO i usually just go with the flow sahaja, meaning, i just follow kawan-kawan yang ada pengalaman, dah pernah jadi mak/bapak budak untuk pilih barangan bayi. Dalam fikiran saya ketika itu, hanya fikir baju baby sajer!!! 

Now bila dah jadi mak budak nih, baru tahu sebenarnya banyak benda yang boleh kita hadiahkan kepada ibu yang baru melahirkan ini, samada kita nak fokus kepada ibu itu ke atau anaknya atau kedua-duanya. 

So, now dah jadi mak budak ni, even beli baju baby pun now spektrum kefahaman saya tentang baju pun dah bertambah. Misalnya, lebih baik beli baju bayi untuk 3 bulan or 6 bulan ke atas berbanding new born kerana NB baby cepat outgrowth them. And selain baju, boleh beli macam-macam jugak seperti blanket, topi, stokin, atau alat mandian bayi. Alat mainan pun boleh beli, or buku cerita or alat-alat berkaitan dengan bayi seperti bottle warmer, stroller, baby cot, baby carrier, pendek cerita something yang practical for baby and mom. 

Ibu jangan dilupakan :-)
Idea yang sangat bagus jika kawan-kawan dapat beli hadiah untuk si ibu. Like me, kawan2 hadiahkan set penjagaan diri bodyshop. Sangat bagus sebenarnya, memang tak guna masa berpantang, tapi lepas pantang dapat pakai something yang wangi and soothing memang refreshing!! Kalau nak canggih lagi, boleh jer hadiahkan baucer spa ke untuk berurut, mandi bunga, massage, manicure & pedicure. Mak-mak sekalian berhak mendapat peluang dimanjakan setelah penat melahirkan anak dan melalui tempoh berpantang yang agak mencabar. 

Atau paling mudah..bagi cash saje. Hehe, so momies boleh beli apa-apa yang patut untuk keperluan bayi yang baru lahir. 

So, jangan ketandusan idea apa nak bagi kawan-kawan yang baru melahirkan anak!!


Thursday, October 19, 2017

Being a mom





Selamat pagi yang indah,

Pejam celik pejam celik dah nak habis pun cuti bersalin saya 3 bulan. Honestly, memang tak terasa sungguh cepatnya waktu berlalu. Baby saya pun dah semakin membesar, sihat dan dah mula membina skills2nya sesuai umur seperti tersenyum dan gelak bila diagah-agah. Dua tiga hari ini pula dia dah mula mengiring sendiri tanpa bantuan. Jadi, saya kena lebih berjaga-jaga. Sekarang ini saya suka letakkan dia atas sofa sahaja kat bawah ruang tamu kami. Tapi now kena ubah strategi, baby dah tahu mengiring dan alihkan kepala. Semalam, tengok bantal entah ke mana, badan pun dah kat tepi bucu sofa, nanti tergolek pulak jatuh. Huhu seriau. Tapi grateful akan pembesarannya. Dah berat baby  saya ini. Pada usia 2 bulan nih, dah cecah 5 kg. Sengal jugak nak mengendong!!

Now, baru habis settle satu bab tesis student untuk disemak. Ye, pensyarah mana pernah 'berehat'?? Cuti pun keje seperti penyeliaan tetap berjalan. Huhu. Take one step at the time. Waktu pagi, sementara baby tidur, saya gunakan masa sedikit ini bukak desktop and semak tesis pelajar. Now, jadual saya mengikut keadaan baby. Haha. Meaning that, bila dia tidur, time tu lah baru saya boleh nak buat benda-benda lain seperti kerja rumah, dan sebagainya. Baby saya pula tidur siang dalam 2 jam pastu bangun, pastu tidur balik. So, setiap 2 jam tuh, saya kena pandai manfaatkan untuk bermasak, mandi, laundry, lipat baju dll kerja. Kira macam berlumba dengan waktu. 

Tapi ada baiknya, iaitu saya jadi lebih alert masa dan lebih efisien menggunakan masa. Haha. Kira setiap detik itu berharga. Kalau baby dah bangun, ha kena fokus dia nak mandilah, nak nyusulah, nak kena main2 kejap, nak kena kendong bila merengek. Agaknya itulah yang rakan-rakan saya lalui. Memang saya sangat kagum dengan kawan-kawan yang beranak pinak ni, dalam sibuk uruskan anak, boleh usaikan kerja. Maybe mereka juga menggunakan konsep sama. Masa yang ada sikit itulah kena dimanfaatkan betul-betul. kalau buat benda yang lagha, alamatnya banyak kerja terbengkalai. 

Now, nama baby kami pun dah secara rasminya didaftarkan. Ayahnya memang ambik masa betul nak pilih nama. Kira hampir 2 hari nak cecah 60 hari baru kami finalised nama anak kami. So, dalam kad pengenalan, nama anak kami ialah Ahmad Muaz. Sebelum ini nak bagi nama Ahmad Danish, tapi anak saudara yang kerja JPN bagi tahu, Danish tu ramai yang guna. So, tak jadi walaupun saya suka. Lepas tu, nak letak nama Ahmad Ukail, mula-mula rasa okay, lama-lama rasa tak okay, walaupun maksudnya cantik, sebab husband kata, nanti orang kata mata kail?? Ahaha, pulaks!!! Carik punya carik, husband cadangkan why not Muaz? Muaz ni kalau carik macam takde makna khusus tapi adalah seorang tokoh tersohor di zaman Rasulullah, iaitu sahabat dan perawi hadis. Bila baca sejarah Muaz bin Jabal, saya jadi tertarik dengan nama tersebut. Danish, Ukail, maknanya bijak, pintar. Tapi Muaz, lebih besar maknanya kalau kita menghayati sejarah hidup tokoh ini. Beliau terkenal dengan kesetiaan, kepimpinan, seorang sahabat baik, ilmuan, bijaksana, dan ahli agama disegani. Jadi, sifat itu mencakupi segala yang saya inginkan untuk anak saya. In sha Allah, mudah-mudahan Ahmad Muaz akan meneladani sifat-sifat itu nanti. 

Nama Muaz pun singkat dan simple. Saya memang dah bagi tahu husband awal-awal saya nak nama yang ringkas dan penuh makna. Tak mau nama yang panjang berjela tapi panggilnya ntah apa-apa. Panggilan tu yang penting. Tak guna kalau nama cantik dalam IC tapi kita panggil anak kita hari-hari 'Black!! misalannya. Nama dah comey, tapi kita bahasakan nama anak kita seharian yang mungkin berlainan atau membawa maksud lain kemudiannya. Saya mementingkan panggilan hari-hari kerana itulah yang kita doakan untuk anak kitakan. But it just my 2 cents. Setiap orang ada preferable masing-masing.

Cadang nak ikut ayahnya out station, in sha allah sebelum sambung kerja nanti, nak pergi bercuti pendek seketika sambil bawa Ahmad Muaz jejalan. 

p/s: sekadar coretan seorang wanita yang sedang cuba memahami dan menghayati pengalaman baru menjadi seorang ibu...

Saturday, August 26, 2017

Akhirnya yang ditunggu-tunggu telah tiba ...




Alhamdulillah,
Syukur ke hadrat Ilahi akhirnya saat-saat yang ditunggu telah pun tiba. Saya telah selamat melahirkan anak lelaki pada 19/8/2017 tempoh hari pada hari Sabtu jam 1.41 pagi di hospital Serdang. Tarikh due saya ialah 28/8/2017 namun baby comel saya nampaknya ada plan untuk keluar lebih awal. Terasa bermimpi telah mempunyai anak sendiri dan pastinya ini satu momen besar hidup saya, satu perubahan besar dan pastinya mengubah hidup saya secara signifikan. Buat masa sekarang, saya takdelah rasa kekok uruskan anak sendiri. Memang diakui saya tak de pengalaman menguruskan anak kecik atau menjaga anak orang, tapi naluri seorang ibu itu pastinya menjadikan kita natural mother in all aspects. Memanglah tak perfect, tapi in sha allah pengalaman ini akan saya lalui bersama-sama dengan baby saya dan juga bantuan suami yang jauh lebih berpengalaman. Buat masa sekarang, just enjoy being a mom, enjoy menjaga baby enjoy my maternity leave. I love and treasure every moment yang ada sekarang. Cliche, tapi lebih menghargai seorang ibu dan naluri seorang ibu yang mahu yang terbaik untuk anaknya, rasa belas dan kasihan pada amanah Allah ke atas satu jiwa yang lahir dari rahim sendiri. Tiada yang saya harapkan melainkan Allah beri saya peluang membesarkan zuriat ini sebaik mungkin. Buat masa ini, inilah fokus saya. Dari satu aspek lain, perkahwinan 3 tahun lebih ini akhirnya Allah kurniakan kami zuriat yang kami nanti-nantikan, buat pengikat ikatan kasih dan perkahwinan kami. Setelah melalui 2 kali keguguran dan kehilangan bayi, kelahiran ini pastinya sesuatu yang amat kami syukuri. Terima kasih Allah. 




Sunday, June 18, 2017

Sweet Cherry Warehouse Sale 2017




Semalam, 2 dalam 1, shopping baju raya and shopping barang bayi. Masa untuk persiapan baby tinggal ada beberapa bulan saja lagi. Bulan Ogos adalah bulan untuk berehat dan bercuti dan menunggu kelahiran bayi. Semoga Allah permudahkan urusan saya sekeluarga. Bulan Ogos dah terlalu sarat untuk ke hulu ke hilir untuk membeli barang baby. Masa tu saya dah plan untuk bercuti lebih awal dan berehat saja. Mana tahu baby nak keluar lebih awal. 



Kebetulan rezeki, ternampak ada warehouse sale dari brand sweet cherry, bagi yang mencari-cari stroller, car seat untuk baby dan playpen, nama sweet cherry sememangnya dikenali. Ketika survey barang-barang bayi terutama stroller, car seat and play pen memang brand SCR ini agak popular dan sering disebut-sebut. Baru tahu rupanya SC tu stands for sweet cherry, cuma R tu tak tahu maksud apa. Ahaks. Kilangnya di Seri Kembangan, Kawasan Perindustrian. Iklan fb mengatakan diskaun barang sehingga 70%?? Retail price yg biasa kita jumpa memang tak dapat harga meletups gitu. Alhamdulillah rezeki juga dapat membeli ketika ada jualan gudang seperti ini. Harga memang berbaloilah. Dua benda besar kami beli semalam di jualan gudang tersebut iaitu:



  • Stroller baby - SCR 6 berharga RM499, retail pricenyer dalam RM900-RM1000 kalau tak silap. Lupa pulak. Dan;
  • Car seat baby - RM 369, retail price lupa pulak. Haish.


Mula-mula tak sure nak beli playpen or baby cot, tapi akhirnya kami sepakat untuk beli baby cot Ikea sahaja nanti. Itu plan selepas raya. Setelah menimbang tara buruk baik baby cot vs playpen, akhirnya kami memilih baby cot sahaja. 



Ramai juga yang datang ke jualan gudang tu, senang jer cari walaupun kami tak pernah ke warehouse tersebut, ini semua berbaloi dengan adanya waze. Hehe, cari saja sweet cherry seri kembangan, in sha allah waze will lead your way. 



Stroller baby mula-mula berkenan juga dengan SCR 12, memang nampak kukuh dan solid, tapi saya rasa bulky sangat. Even SCR 6 ni pun saya rasa bulky, tapi bila fikir kereta alzaku, then lapang sikit dada, pastinya ruang belakang seat ke 3 akan menjadi tempat semayam stroller ini. Cuma kalau kereta husband, bonetnya akan sempit bilamana stroller ini diletakkan di belakang bonet kereta. So, untuk kereta sedan biasa or lebih kecil, kena pertimbangkan betul-betul untuk membeli stroller SCR 6 ini kerana saiz simpanannya. Tapi dari segi praktikaliti, memang baik sebab senang nak bukak dan lipat. Kemungkinan berjalan dengan baby without his father tu ada, so, better pilih yang praktikal sedikit untuk si ibu nak handlekan. Sebab lain pilih SCR 6 ini ialah boleh pakai lama sehingga baby umur 5-6 tahun. Begitu juga dengan car seatnyer. Rakan sepejabat pun rekomen SCR sebab katanya dah 6 tahun pakai still elok. So, ambillah. Begitu juga dengan car seat, memang kami beli untuk jangka masa panjang, iaitu yg sesuai untuk infant hingga toddler umur 5-6 tahun. 




Minggu depan cuti raya so rehat sekejap, fokus nak siapkan kerja-kerja pejabat, marking paper students :-( yang semuanya mengejar datelines. Dengan keadaan keboyotan lagi, memang kena bertahan dalam kepenatan yang Allah saja tau. Minggu ni last untuk persediaan membeli baju raya, walaupun misi membeli barang baby nampaknya berhasil, baju raya diriku ini agak sukar dicapai kerana faktor membeli last minutes, banyak baju berkenan saiz dah habis dan pilihan baju terhad kepada jubah atau dress saja kerana faktor pinggang raya tahun ini tak lepas SIRIM. Haha. Tapi untuk mu baby, mama redha sajalah. Bukan selalu pun. 

Happy shopping uoll. 

Monday, June 12, 2017

Shopping barang baby di Ikea




Masih sequel siri membeli barang baby..ahaks. Semalam ikut plan macam2 tempat nak jengah, tapi bertolak ke Ikea pun dah tengah hari, so kami tak sempat nak ke beberapa tempat di Bangi. Balik pun dah lewat dan sempat balik bersolat di rumah, rehat sekejap pastu sebab dah sampai lewat di rumah, maka beli lauk jerlah siap-siap.

Semalam tema kami ialah makanan sarawak, so kami singgah ke Sg Besi iaitu kedai makan Dayang Sarawak Corner untuk membeli mee kolok, mee laksa sarawak dan abc sarawak. Wah sedap seh!! ABC sarawak tuh memang tak jumpa kat sini, memang lain dari yang lain. Husband pun cakap memang sedap. Tapi tambah lauk semalam dengan membeli air jagung, air kelapa, dan nasik lemak di pasar ramadhan jalan reko sentral (untuk bersahur). Nasik lemak berempah tuh memang sedap tak rugi beli. Makan dengan selera betul masa sahur pagi tadi. 

Hei burung, jangan bertenggek pulak nanti. Penat mesin basuh cuci dan makcik ni menyidai

Hari ini, misi saya ialah laundry barang-barang baby yang dibeli tempoh hari. Sementelah cuaca pun panas gedegik macam nih, hah sesuailah untuk operasi mencuci baju. Tinggal barut lagi nak cuci, pastu bolehlah lipat baju baby and asing-asingkan siap-siap dalam bag. Bila tengok baju baby ni rasa teruja pulak dan rasa macam tak cukup pulak baju baby nih. Saya beli semua new born. Tak pun yang bersaiz 0-3 bulan. Harap2 sempatlah masa pantang nanti membeli baju untuk baby kot-kot NW saiz tu dah tak muat. Sebab rata-rata kawan cakap baby cepat membesar. 

Ini antara barang-barang besar yang kami beli di Ikea. 

Troli kami beli warna putih. Husband nak perabot putih untuk baby. Colorful nanti cam kat tadika katanya.

Baju baby kecik so perlu banyak penyidai jenis ini

Senang nak campak baju kotor untuk dicuci






Kami beli box plastik jenis paling kecik warna putih saja dulu sebab husband nak color putih, takde pulak stok, warna pink, hijau dan hitam adalah. So kami tangguhkan dulu. Maybe second round nanti masa beli baby cot dan frame untuk box tu nanti barulah carik balik storage box putih nih. Hopefully ada.




Image result for baby bath ikea

Sunday, June 11, 2017

Barut bayi - murah dan mengujakan



Salam pagi dan salam puasa,

Hari ni continue hunting for baby products. Just nak share tempat beli barut baby yang sangat berbaloi dan murah harganya. Saya dah beli barut baby dalam 4 helai hari tu kat butik Manjaku dan semasa pergi ke babyfestival putrajaya tempoh hari. Last few days my friend antar sms tanya saya dah cukup barut bayi ke tidak? Saya kata baru ada 4 saya beli, itu pun saya beli banyak tuh sebab saya itu cadangnya nak disumbat ke dalam bag pakaian bayi untuk persediaan ke hospital. Katanya tak cukup tuh, perlu banyak lagi. And kebetulan dia ada urusan di Islamic Relief dan disitu katanya ada dijual barut baby pada harga yang sangat murah RM8 seplastik dalam anggaran 20 barut dalam tuh, tapi warna putih dan sedikit barut warna biru. Apa lagi, cakap kat kawan tuh okay saya nak. Dia kata barut ni besar-besar dan bertali, which is sesuai untuk baby. Saya ambik jer nasihat kawan saya ni yang dah terlebih dahulu ada pengalaman menjaga bayi kecil 2 orang. So kat bawah ini adalah gambar sebenar barut tersebut.



Sila click gambar untuk lihat sendiri harganya. Tak tipu, RM8.00 sahaja satu plastik nih



Saya bentangkan baru itu di atas katil so kita boleh tengok rupa sebenar baru dua warna ini. Tadaaa!!


Saya terlebih rajin pagi ni, try kira berapa semuanya. Okay, total 40 helai barut bayi!!! Banyak kan? Yang color biru corak hello kitty tuh ada 10 helai.


So kepada yang sedang mencari-cari barut bayi dan mahu menjimatkan kos dan tidak risau takut stok barut baby kita kehabisan stok sewaktu berpantang nanti, bolehlah datang ke Islamic Relief dan beli di sana. Pada harga RM8.00 dengan bilangan 40 tali barut, mana-mana butik bayi kat seantero Bangi ini pasti tak jumpa. Huhuhu. 

Silalah serbu...

p/s: Credit kepada kawanku Jana yang bukan saja tolong beli, tapi bagi terus sebagai 'hadiah'. Syukur alhamdulillah..

Saturday, June 10, 2017

Shopping raya - babyfest dewan seri melati putrajaya




 Actually, thread ini agak out dated, sebab berkisar tentang shopping barang baby yang telah berlaku minggu atau tepatnya pada weekend lepas. Seperti mana yg saya dah inform sebelum ini, tahun ini fokus persediaan raya saya ialah untuk menyambut kelahiran bayi yang semakin hampir. Takut kalau ditangguh-tangguh alamatnya bila dah perut memboyot dah tak larat berjalan, maka makin sukar pula nak melakukan urusan membeli belah.





Saya berkesempatan baru-baru ini berkunjung ke babyfest di dewan seri melati putrajaya. Babyfest ini dianjurkan oleh metrojaya rasanya. Barang not bad, banyak pilihan dan alhamdulillah kami dapat membeli belah dengan aman walaupun agak ramai parents yang turut ada membeli belah barang-barang keperluan baby. Nasib baiklah saya sempat membuat checklist barang bayi terutama untuk dimasukkan ke dalam beg hospital. Mamanya ini belum lagi full swing persediaannya, lebih utamakan baby dulu sebab mamanya ini rasanya boleh pakai apa saja yang ada berbanding barang baby yang zero takde langsung nih.



Perasaan? Cakap ngan hubby, rasa agak weird (but in a good way) sebab bershopping barang baby sendiri. Bukan tak pernah shopping barang baby pun, tapi shopping barang baby orang lain, as a present. Bila shopping barang sendiri untuk baby sendiri, perasaan itu rasa macam tak percaya, excited and terujalah. Dalam memilih-milih barang bayi tu saya sempat cakap ngan husband, 'harap baby tak main-main dengan kita ya, ni dah beli baju untuk baby boy, jangan keluar nanti baby girl.' Husband gelak saja. Try my best untuk beli corak/color yang gender neutral, tapi since i have already know my baby's gender, so tendency to buy color that suit baby boy - which is typical blue, tetap mendominasi barang keperluan baby. Ha baby, jangan tipu mama!! Kalau keluar lain dari yg baby tunjuk hari tu, babap pipi yang gedemuks tuh. 



Mengimbau sedikit kenangan sewaktu scan baby di klinik As Salam seksyen 7 bandar baru bangi, doktor tu sempat mengomen kata pipi baby saya tembam, tapi memang betul pun, nampak ketembaman pipinya itu. Hihi, baby tengah tidur time kena scan, sampai doktor goyang-goyangkan perut saya nak bagi baby gerak. Memang dia gerak lepas tu tapi dalam keadaan mamai - my guesslah. Ahaks! Kali kedua, sewaktu scan di kk kajang. Walaupun guna scan 2D saja, doktor sempat kata, oh ini baby boy, nampak tak tadi, dia punyer genital?? And juga tekaan rakan-rakan yang ramai mengatakan saya kemungkinan sedang membawa baby boy memandangkan perut yang agak runcing ke depan. Whatever it is, harapan seorang ibu semestinya agar zuriat ini terpelihara dan selamat dilahirkan dalam keadaan terbaik. 



Esok pun kami plan nak shopping barang baby lagi. Mungkin juga dislotkan dengan membeli barang raya sikit, tapi more to barang baby. Destinasi seterusnya ialah, butik-butik bayi sekitar bandar baru bangi ni seperti - manjaku mall, tateh, kasih ibu dan juga ikea. Ada juga saya ke manjaku mall baru-baru ini untuk membeli beberapa lagi kelengkapan asas bayi seperti pelapik getah, baju bayi lagi 2-3 helai, maternity pads, dan detergent untuk barang bayi.



Bercakap pasal detergent - saya beli brand fifi kalau tak silap, baunyer segar and yang penting hypoallergenic and bebas dari chemical berbahaya dan cukup sensitif untuk baby. Task seterusnya ialah membasuh pakaian bayi yang dibeli sebelum digunakan. 

Barang-barang lebih besar seperti stroller, car seat dan almari/laci untuk barang baby akan diusahakan selepas raya. Now tengah survey brand yang okay dan harga-harganya sambil mencongak bajet, sekali dengan bajet untuk tukang urut bersalin nanti. 

... see?? Persediaan sambut bayi sebenarnya jauh lebih signifikan dalam hidup saya sekarang berbanding tiket balik raya, order biskut raya dan beli baju raya...

happy weekend!!

Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...