Marah dan dendam tidak pernah berakhir dengan kebaikan,
Kalau kita selusuri kisah-kisah yang pernah kita baca, malah kita alami, dendam tidak berakhir dengan baik. Sejak dari awal kejadian manusia, kita berdepan dengan dendam dan iri hati syaitan atas kejadian manusia. Kesudahannya? Syaitan dilaknat oleh Allah sehingga ke akhir zaman. Seawal kejadian manusia di muka bumi ini, cerita putra Nabi Adam, Habil dan Qabil yang iri hati/dendam akibat korban yang diterima oleh Allah dan jodoh yang lebih baik menjadikan Qabil sanggup membunuh saudara sendiri. Jadilah Qabil pendosa atas perbuatan khianatnya.
Jadi di mana baiknya dendam itu??
Dari sudut psikologi pun, marah dan dendam bukan sahaja MEROSAKKAN HUBUNGAN kita dengan orang lain seperti suami/isteri, malah paling teruk ialah kesannya kepada diri sendiri seperti:
- Marah/dendam meletakkan seseorang kepada risiko penyakit jantung.
- Marah/dendam meletakkan seseorang kepada risiko strok.
- Marah/dendam melemahkan sistem imunisasi seseorang.
- Marah/dendam meningkatkan rasa kebimbangan.
- Marah/dendam membawa kepada kemurungan.
- Marah/dendam melemahkan paru-paru.
Selain kesihatan tubuh badan, emosi marah/dendam juga mempengaruhi diri kita secara negatif dari aspek emosi, kesihatan mental dan spiritual.
Jantung, sistem imun, kebimbangan, kemurungan, strok dan paru-paru tu bukan organ atau kesihatan orang yang kita dendam/benci/marah itu tetapi badan kita sendiri. Jadi, mana baiknya ada perasaan dendam/marah itu? Pada saya ia lebih banyak merosakkan jiwa individu itu sendiri berbanding orang yang menjadi sasaran kemarahan/kebenciannya. Ketenangan dalam jiwa hilang kerana hati asyik tidak puas hati, hati hilang ketenangan, hati penuh pertikaian. Itulah yang akhirnya menjadikan hati kita rosak. Rosak oleh perbuatan diri sendiri. Marah/dendam yang tidak berkesudahan akan melemahkan jiwa selama mana ia dibenarkan menjadi raja dalam hati kita.
Saya percaya, setiap kita inginkan hati yang tenang. Tapi satu perkara yang kita mudah lupa ialah hati yang tenang itu ialah bila kita BERHARAP PADA ALLAH yang menentukan segala, dan juga PILIHAN YANG KITA SENDIRI BUAT. Apakah kita pilih untuk selamanya berdendam/marah? Dendam/marah sesungguhnya di dalamnya tiada satu pun kebaikan, hati menjadi semakin hitam dan bergelumanglah kita selamanya dengan jiwa yang sakit itu.
KITA PUNYA PILIHAN - jadi pilihlah untuk berlapang dada dan meredhai jika itu boleh memberi kita rasa ketenangan. Tenang itu bukan untuk sesiapa, ia untuk diri sendiri juga. Buang jauh-jauh perasaan dendam/marah itu dan pilihlah untuk membahagiakan diri kerana anda berhak mendapatkannya. JIka kita benarkan peristiwa pahit hidup kita untuk menyimpan dendam/marah, sepertinya kita ditembak dua kali dalam hidup. Pertama kerana peristiwa itu, kedua kerana kita membenarkan ia merosakkan hati dan jiwa kita. Jadi pilihlah untuk berbahagia dengan cara menyingkirkan emosi negatif dalam diri dan gantikan dengan sesuatu yang positif.
Cara Mengatasi Sifat Marah/Dendam
Setiap orang mempunyai pelbagai cara mengatasi dan menangani sifat marah dalam diri mereka. Di sini saya gariskan beberapa cara. Ini sekadar contoh sahaja, anda boleh saja memilih cara yang paling berkesan, asalkan saja ia menghasilkan kebaikan dan bermanfaat. Jangan pula anda mengatasi sifat marah/dendam itu dengan pukul suami/isteri, dera binatang, hisap dadah, gantung diri atau paling teruk anda berhajat untuk membunuh orang lain. Itu kerja syaitan.
1. Beri masa kepada diri untuk bertenang - jangan terus berespons dengan kemarahan itu. Dalam Islam ada adab menghadapi marah. Kalau sedang berdiri, duduk; kalau sedang duduk, baring; atau ketika itu tiada wuduk, maka wuduklah. Kerana marah itu sifat syaitan (api) maka air akan menyejukkannya. Kalau ada kolah, silalah berendam sekali :-)
2. Luahkan dengan cara yang konstruktif. Jangan bertindak negatif, agresif, impulsif. Marah yang diluahkan secara salah akan menghasilkan kesan yang kita tidak ingini. Ingat bila kita ini penuh sifat marah/dendam akan menyebabkan pasangan/kawan2 kita tenteram dan lebih menyintai? Jawapannya tidak. Cari masa sesuai untuk bercerita dan meluahkan perasaan, iaitu ketika kita sudah boleh bertenang dan bercakap tanpa emosi.
3. Jumpa kaunselor/psikologi - pilihlah orang yang boleh memberi buah fikiran yang neutral, objektif dan tidak bias. Yang kita yakini boleh memberikan panduan dan jujur dalam penilaian. Bukan sahabat atau keluarga yang kita tahu boleh menjadi bias atau kawan2 yang kita tahu sudah sedia menjadi batu api dan tukang sorak.
4. Doa. Jangan pertikai kepentingan kuasa doa. Dalam Islam ada banyak cara untuk menghindari dari perasaan marah yang keterlaluan. Selain doa, bersolat atau membaca quran. Mudah2an hati yang panas membara itu sejuk dengan ayat2 quran dan mungkin dalam bacaan itu kita terjumpa firman Allah yang betul2 kena dengan kita.
5. Kemaafan dendam yang terindah. Macam lagu Aishah pula. Tapi memaafkan adalah pengubat dendam yang paling mujarab. Hati yang memaafkan akan terasa lapang dan lebih bahagia. Orang yang merasa sebaliknya itu menunjukkan hatinya yang masih buta dalam melihat kebaikan apa yang dinamakan kemaafan.
6. Bersenam. Marah/dendam adalah satu bentuk energi yang kuat. Jadi, ia perlu dikeluarkan secara berhemah. So bersenam mungkin salah satu cara efekti untuk menyalurkan kemarahan dengan cara positif. Daripada nak lempang, yang tumbuk, cakar orang lain, ada baiknya kita bersenam kerana kita dapat kebaikan 2 perkara - marah dapat diluahkan, dan kedua body jadi cantik. ahaha.
Pilihlah untuk menjaga hati, bukan merosakkan hati. Hati yang rosak akan gagal melihat yang baik2. |
No comments:
Post a Comment