Kadang-kadang,
Kita bersikap kejam tanpa kita sedar kepada orang sekeliling...
Bila seseorang mengalami musibah dalam hidup..
Cepat-cepat kita memberi nasihat percuma "kau tak payah sedih sangat, dia memang jantan tak guna. Berambus lagi baik!" atau "Buat apa kau sedih-sedih? Yang pergi memang dah ditakdirkan, nanti kau dapat pengganti, anak baharu, pengganti kepada si abang yang telah pergi."
Baru nak bergenang air mata...dapat teguran 'eh, tak payah menangis. lap air mata tuh, tunjukkan diri kau kuat. Kau boleh!!"
Memang bila mendepani hidup kita semua kena kuat, sebab ujian kehidupan itu pasti.
Tapi kita sedang memaksa orang untuk menafikan emosinya ketika itu, atau merasai emosi kala itu dan move on begitu saja.
Percaya tak, semua emosi itu emosi sihat?? Ini termasuklah perasaan kecewa, sedih, pilu, kedukaan, dan kehilangan. Ia wajar ditangiskan.
Dalam Islam pun ada tempoh idah, itu semua mengandung hikmah. Salah satunya memberi masa untuk kesedihan diraikan dalam sewajarnya, seperlunya. Apatah lagi jika hilangnya itu satu kehilangan besar yang merubah banyak perkara.
Berapa banyak kesedihan dan kehibaan terpendam, akhirnya tidak pergi dan menghantui?
Jadi, jika seseorang yang kita kenal berada dalam situasi ini, jangan bagi nasihat tergesa-gesa untuk dia berhenti dari emosi sedihnya. Beri ruang untuk bersedih, beri ruang untuk memahami apa yang hilang dalam dirinya, beri ruang untuk menerima realiti, beri ruang untuk membina kekuatan. Nama pun MEMBINA, ia adalah proses membina semula apa yang telah hilang, dan perlukan masa.
Sebaiknya, hulurkan tangan, jadilah bahu boleh bersandar untuk menangis, dan jadilah peneman perjalanan kehilangan itu. Jangan jadi sebahagian dari orang yang menyebar toxic positivity.
Kejujuran juga penting buat empunya badan. JIka sedih, jangan menafikan kesedihan. Bimbang, lakonan hanya berjaya seketika, nanti kehibaan itu datang semula, menuntut perhatian. Lalu menangislah seorang di bucu katil, takut nak pamerkan kesedihan, lantaran takut dilabel lemah, takut ego tercalar.
Raikanlah setiap emosi, inilah perjalanan kehidupan yang penuh warna. Kadang-kadang warna itu tidak indah, kita tak suka episod hidup itu, tapi itulah kehidupan. Jalani dengan kejujuran. Kerana kejujuran kepada diri dan orang lain, adalah satu kebebasan. Ada kalanya pahit, tapi menyembuhkan.
No comments:
Post a Comment