Sunday, April 30, 2017

Pengajaran dari peristiwa Adik Thaqif



Salam cuti panjang :-)

Sejak beberapa minggu ini, panas dan tular kisah sedih arwah adik Thaqif, pelajar tahfiz sebuah sekolah tahfiz di Johor, yang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan yang dikatakan berpunca dari hukuman sebatan dengan batang paip oleh warden asrama. Arwah, bertarung nyawa beberapa minggu sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan koma. Sedang waktu itu, arwah telahpun selamat menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya yang tidak boleh diselamatkan lagi. Arwah baru berusia 11 tahun. Sayu juga saya mendengar ceritanya. Kanak-kanak lagi umurnya, pada usia 11 tahun, pada saya, masih polos, suci dan bersih, baru nak kenal dunia. Datang ke madrasah tahfiz membawa cita-cita murni menjadi hafazan, menjadi anak soleh buat kedua-dua ibu bapanya. Pengakhiran yang dukacita buat keluarga arwah. Namun, Allah sebaik-baik perancang. Musibah yang pastinya mengandungi hikmah, jika kita memandang dengan pandangan iman dan penuh redha. 

Saya enggan mengulas mengapa, kenapa, siapa? Tapi saya ingin memberi komentar tentang satu aspek yang kita sebagai ibu bapa kena lebih peka. Moga kejadian yang menimpa arwah ini menjadi pengajaran berguna kepada kita semua. Iaitu, kita kena peka kepada keadaan anak kita di sekolah, samada di asrama penuh mahupun sekolah harian. Jika saya tidak silap, arwah ada menyuarakan hasrat untuk bertukar. Dan ini dibuktikan dengan adanya diari yang arwah tulis, menceritakan keadaannya di asrama yang seringkali menjadi sasaran kekerasan di asrama. 

1. Tolong peka sekiranya anak kita tiba-tiba bertukar dari seorang kanak-kanak riang dan gemar bersekolah kepada seorang yang pendiam, dan enggan ke sekolah. Sebagai ibu bapa, usahakan untuk mengenalpasti kenapa anak-anak boleh tiba-tiba enggan ke sekolah. Jangan simply anggap anak ini tengah 'mood tak baik' nanti okaylah tu. Atau kita anggap itu hanya masalah emosi sementara yang akan surut mengikut waktu. Jangan mengandai-ngandai dan terlalu berbaik sangka. Dalam dunia persekitaran sekarang yang pelbagai ini, kena ambil berat sedikit, tidak rugi pun. Kenalpasti, bincang dengan anak, berkomunikasi, minta anak luahkan apa sebenarnya apakah yang menyebabkan anak kita tiba-tiba enggan ke sekolah. 

Ini contoh yang benar berlaku, iaitu satu kes yang pernah dikongsi seorang pegawai polis yang mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak. Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun enggan ke sekolah, bila sebut jer sekolah, dia akan menangis membentak-bentak dan seperti histeria. Seolah-olah trauma. Pada mulanya ibu bapa tidak tahu apa yang berlaku. Saya pun dah lupa rentetan cerita ini kerana ia telah lama diceritakan kepada saya, namun akhirnya ibu bapa telah tahu dan itu yang membawa kepada kes polis. Sebabnya? Kanak-kanak itu menjadi sasaran gangguan seks dan cabul guru sekolah. Kanak-kanak itu bernasib baik kerana ia belum sampai ke arah rogol, tetapi cabul. Itupun kanak-kanak ini mengambil masa yang agak lama untuk berterus terang. Biasanya mereka ada perasaan malu, takut dipersalahkan, risau reaksi orang dewasa dan sebagainya. Jadi, jika ada anak-anak kita sepertinya takut untuk ke sekolah, enggan ke sekolah, ada baiknya kita mencari puncanya sebelum menyalahkan anak kita sebagai buat perangai. 

Satu contoh lagi, ini pula melibatkan kanak-kanak di taska. Ini saya baca di facebook luahan seorang ibu yang mulanya keliru dengan perangai anaknya yang sangat agresif, buat perangai dan menguji kesabaran apabila berada di rumah. Tapi di taska kata cikgunya baik pula perangainya, pemalu dan pendiam. Ibu ini mengambil inisiatif sendiri membuat siasatan. Satu hari dia tidak terus balik tetapi mengendap taska tersebut. Barulah dia nampak bagaimana anaknya dilayan kasar oleh guru taska di situ. Agaknya, kerana usianya yang masih muda, dia tidak tahu mengadu atau hendak meluahkan tekanan yang dialaminya. Tapi, dia mengekspresikannya dengan tingkah laku agresif, dan buat perangai ketika di rumah. 

Guna beberapa strategi untuk mengenalpasti: berjumpa guru di sekolah dan ceritakan apa yang berlaku, tanya kawan-kawan baik anak-anak kita, buat permerhatian dan siasatan senyap-senyap, dan jika perlu, bawa anak jumpa kaunselor sekolah. Mungkin ibu bapa akan dapat gambaran sedikit sebanyak atau klu penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti menjadi mangsa buli dan sebagainya.

2. Jika anak bersekolah asrama, terutamanya sekolah rendah. Tidak salah sesekali, buat spot check badan anak-anak kita. Tengok jika ada lebam atau kecederaan yang kita rasa luar biasa. Dengan ini, kita dapat bertindak awal, sekiranya anak kita menjadi mangsa buli di sekolah. Biarlah kita mencegah sebelum terlewat. 

3. Niat untuk menghantar anak mendalami ilmu dunia akhirat di tempat tertentu adalah niat yang baik. Tetapi, jangan berkompromi, di mana kita menghantar anak-anak kita. Pastikan sekolah yang kita hendak hantar itu, mempunyai reputasi baik, selidik dulu latar belakang sekolah, prestasi mereka, siapa guru-gurunya, wardennya, pelajar-pelajarnya. Biar beremeh-remehan di peringkat awal, asal keputusan itu kita puas hati. Lagi-lagi sekolah asrama. Kita tak nampak anak-anak kita, apa yang mereka lalui, bagaimana layanan yang diterima dan sebagainya. Bayangkan, jika kita semberono saja menghantar anak-anak ke tempat yang kita tak tahu reputasinya, legal tak legal, bolehkah kita melelapkan mata dengan lena setiap malam, sedang anak kita tak pasti keselamatan dan keadaan dirinya. Sebaik2nya hantarlah di tempat atau sekolah yang berdaftar dengan kerajaan, yang kita tahu  melahirkan guru-gurunya dan pelajar-pelajarnya yang cemerlang dan baik-baik. Sekolah yang didaftarkan ini sebenarnya lebih terjamin kerana ada pemantauan standard terhadap pelbagai aspek keselamatan pelajar, isi kandungan pengajaran, cara pengajaran, kelayakan guru dan sebagainya. Jadi sekolah-sekolah ini tidak boleh semborono meletakkan peraturan yang bukan-bukan. Selain itu, guru-guru dan wardennya juga dipantau kelayakan mereka. Ada kursus yang perlu dihadiri, jadi mereka diberi persediaan sewajarnya dalam mengendalikan kanak-kanak dengan sebaik mungkin. 

4. Selalulah berkomunikasi secara telus dengan anak-anak. Jadikan diri kita ibu bapa yang disenangi sebagai tempat meluahkan perasaan atau keadaan diri mereka. Apabila komunikasi kita dan anak-anak telah sedia baik, maka potensi untuk anak-anak meluahkan perasaan atau masalah mereka adalah lebih tinggi. Kita berpeluang menjadi orang pertama mendengar jika anak ditimpa masalah. Jadi, lebih mudahlah kita sebagai ibu bapa membuat tindakan susulan. 

Saya doakan keluarga arwah Thafiq bertabah dalam menempuh dugaan yang hebat ini. Mungkin kepergian arwah adalah sebaik-baik keadaan. Allah maha mengetahui. Untuk kita yang masih hidup ini dan mempunyai anak, ambillah pengajaran dari peristiwa adik Thaqif ini. Marilah sama-sama memastikan peristiwa begini tidak berterusan dan berulang di masa akan datang. Biarlah itu jadi peristiwa terakhir. Cukup-cukuplah. Anak untuk disayangi, bukan untuk didera. 











No comments:

Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...