Sunday, April 30, 2017

Pengajaran dari peristiwa Adik Thaqif



Salam cuti panjang :-)

Sejak beberapa minggu ini, panas dan tular kisah sedih arwah adik Thaqif, pelajar tahfiz sebuah sekolah tahfiz di Johor, yang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan yang dikatakan berpunca dari hukuman sebatan dengan batang paip oleh warden asrama. Arwah, bertarung nyawa beberapa minggu sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan koma. Sedang waktu itu, arwah telahpun selamat menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya yang tidak boleh diselamatkan lagi. Arwah baru berusia 11 tahun. Sayu juga saya mendengar ceritanya. Kanak-kanak lagi umurnya, pada usia 11 tahun, pada saya, masih polos, suci dan bersih, baru nak kenal dunia. Datang ke madrasah tahfiz membawa cita-cita murni menjadi hafazan, menjadi anak soleh buat kedua-dua ibu bapanya. Pengakhiran yang dukacita buat keluarga arwah. Namun, Allah sebaik-baik perancang. Musibah yang pastinya mengandungi hikmah, jika kita memandang dengan pandangan iman dan penuh redha. 

Saya enggan mengulas mengapa, kenapa, siapa? Tapi saya ingin memberi komentar tentang satu aspek yang kita sebagai ibu bapa kena lebih peka. Moga kejadian yang menimpa arwah ini menjadi pengajaran berguna kepada kita semua. Iaitu, kita kena peka kepada keadaan anak kita di sekolah, samada di asrama penuh mahupun sekolah harian. Jika saya tidak silap, arwah ada menyuarakan hasrat untuk bertukar. Dan ini dibuktikan dengan adanya diari yang arwah tulis, menceritakan keadaannya di asrama yang seringkali menjadi sasaran kekerasan di asrama. 

1. Tolong peka sekiranya anak kita tiba-tiba bertukar dari seorang kanak-kanak riang dan gemar bersekolah kepada seorang yang pendiam, dan enggan ke sekolah. Sebagai ibu bapa, usahakan untuk mengenalpasti kenapa anak-anak boleh tiba-tiba enggan ke sekolah. Jangan simply anggap anak ini tengah 'mood tak baik' nanti okaylah tu. Atau kita anggap itu hanya masalah emosi sementara yang akan surut mengikut waktu. Jangan mengandai-ngandai dan terlalu berbaik sangka. Dalam dunia persekitaran sekarang yang pelbagai ini, kena ambil berat sedikit, tidak rugi pun. Kenalpasti, bincang dengan anak, berkomunikasi, minta anak luahkan apa sebenarnya apakah yang menyebabkan anak kita tiba-tiba enggan ke sekolah. 

Ini contoh yang benar berlaku, iaitu satu kes yang pernah dikongsi seorang pegawai polis yang mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak. Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun enggan ke sekolah, bila sebut jer sekolah, dia akan menangis membentak-bentak dan seperti histeria. Seolah-olah trauma. Pada mulanya ibu bapa tidak tahu apa yang berlaku. Saya pun dah lupa rentetan cerita ini kerana ia telah lama diceritakan kepada saya, namun akhirnya ibu bapa telah tahu dan itu yang membawa kepada kes polis. Sebabnya? Kanak-kanak itu menjadi sasaran gangguan seks dan cabul guru sekolah. Kanak-kanak itu bernasib baik kerana ia belum sampai ke arah rogol, tetapi cabul. Itupun kanak-kanak ini mengambil masa yang agak lama untuk berterus terang. Biasanya mereka ada perasaan malu, takut dipersalahkan, risau reaksi orang dewasa dan sebagainya. Jadi, jika ada anak-anak kita sepertinya takut untuk ke sekolah, enggan ke sekolah, ada baiknya kita mencari puncanya sebelum menyalahkan anak kita sebagai buat perangai. 

Satu contoh lagi, ini pula melibatkan kanak-kanak di taska. Ini saya baca di facebook luahan seorang ibu yang mulanya keliru dengan perangai anaknya yang sangat agresif, buat perangai dan menguji kesabaran apabila berada di rumah. Tapi di taska kata cikgunya baik pula perangainya, pemalu dan pendiam. Ibu ini mengambil inisiatif sendiri membuat siasatan. Satu hari dia tidak terus balik tetapi mengendap taska tersebut. Barulah dia nampak bagaimana anaknya dilayan kasar oleh guru taska di situ. Agaknya, kerana usianya yang masih muda, dia tidak tahu mengadu atau hendak meluahkan tekanan yang dialaminya. Tapi, dia mengekspresikannya dengan tingkah laku agresif, dan buat perangai ketika di rumah. 

Guna beberapa strategi untuk mengenalpasti: berjumpa guru di sekolah dan ceritakan apa yang berlaku, tanya kawan-kawan baik anak-anak kita, buat permerhatian dan siasatan senyap-senyap, dan jika perlu, bawa anak jumpa kaunselor sekolah. Mungkin ibu bapa akan dapat gambaran sedikit sebanyak atau klu penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti menjadi mangsa buli dan sebagainya.

2. Jika anak bersekolah asrama, terutamanya sekolah rendah. Tidak salah sesekali, buat spot check badan anak-anak kita. Tengok jika ada lebam atau kecederaan yang kita rasa luar biasa. Dengan ini, kita dapat bertindak awal, sekiranya anak kita menjadi mangsa buli di sekolah. Biarlah kita mencegah sebelum terlewat. 

3. Niat untuk menghantar anak mendalami ilmu dunia akhirat di tempat tertentu adalah niat yang baik. Tetapi, jangan berkompromi, di mana kita menghantar anak-anak kita. Pastikan sekolah yang kita hendak hantar itu, mempunyai reputasi baik, selidik dulu latar belakang sekolah, prestasi mereka, siapa guru-gurunya, wardennya, pelajar-pelajarnya. Biar beremeh-remehan di peringkat awal, asal keputusan itu kita puas hati. Lagi-lagi sekolah asrama. Kita tak nampak anak-anak kita, apa yang mereka lalui, bagaimana layanan yang diterima dan sebagainya. Bayangkan, jika kita semberono saja menghantar anak-anak ke tempat yang kita tak tahu reputasinya, legal tak legal, bolehkah kita melelapkan mata dengan lena setiap malam, sedang anak kita tak pasti keselamatan dan keadaan dirinya. Sebaik2nya hantarlah di tempat atau sekolah yang berdaftar dengan kerajaan, yang kita tahu  melahirkan guru-gurunya dan pelajar-pelajarnya yang cemerlang dan baik-baik. Sekolah yang didaftarkan ini sebenarnya lebih terjamin kerana ada pemantauan standard terhadap pelbagai aspek keselamatan pelajar, isi kandungan pengajaran, cara pengajaran, kelayakan guru dan sebagainya. Jadi sekolah-sekolah ini tidak boleh semborono meletakkan peraturan yang bukan-bukan. Selain itu, guru-guru dan wardennya juga dipantau kelayakan mereka. Ada kursus yang perlu dihadiri, jadi mereka diberi persediaan sewajarnya dalam mengendalikan kanak-kanak dengan sebaik mungkin. 

4. Selalulah berkomunikasi secara telus dengan anak-anak. Jadikan diri kita ibu bapa yang disenangi sebagai tempat meluahkan perasaan atau keadaan diri mereka. Apabila komunikasi kita dan anak-anak telah sedia baik, maka potensi untuk anak-anak meluahkan perasaan atau masalah mereka adalah lebih tinggi. Kita berpeluang menjadi orang pertama mendengar jika anak ditimpa masalah. Jadi, lebih mudahlah kita sebagai ibu bapa membuat tindakan susulan. 

Saya doakan keluarga arwah Thafiq bertabah dalam menempuh dugaan yang hebat ini. Mungkin kepergian arwah adalah sebaik-baik keadaan. Allah maha mengetahui. Untuk kita yang masih hidup ini dan mempunyai anak, ambillah pengajaran dari peristiwa adik Thaqif ini. Marilah sama-sama memastikan peristiwa begini tidak berterusan dan berulang di masa akan datang. Biarlah itu jadi peristiwa terakhir. Cukup-cukuplah. Anak untuk disayangi, bukan untuk didera. 











Monday, April 10, 2017

Reunion musnahkan rumahtangga??



Hari ini ada sorotan khas akhbar Sinar Harian  berkaitan reunion rakan sekolah/universiti yang berakhir dengan skandal, kemelut dan perceraian rumahtangga gara-gara cinta lama berputik kembali.  Sebelum ini sudah agak kerap juga terdengar isu ini, yang mana reunion rakan sekolah/universiti membawa kepada bibit-bibit percintaan lama itu kembali mengusik perasaan, hati dan akhirnya hubungan cinta terkubur itu kembali bersemi. Cuma masalahnya di sini, bilamana cinta lama itu melibatkan individu yang telah pun mempunyai pasangan dan keluarga masing-masing. Ah, macam mana tuh? Bisakah terjadi?? Bolehkah diulangi detik yang telah berlalu itu? Bolehkah digapai impian cinta yang dulu itu tidak kesampaian? Bisakah dikorbankan apa yang dimiliki ketika ini demi untuk mengejar cinta yang dulunya begitu diingini? 

Adakah wujud peluang kedua?

Dalam orang kebanyakan (termasuk saya) mencela mengejar cinta lama (lost love) ini, pada saya penting juga untuk kita melihat dengan mata hati yang rasional dan seobjektif yang mungkin. Kenapa boleh jadi macam tu? Berpada-pada dalam meng-condemn orang yang terjebak dalam lost love ini kerana kita tidak berada dalam situasi mereka. Orang yang begitu rasional/objektif sebelum ini pun boleh tertewas dek penangan emosi cinta lama, jadi jangan begitu yakin kita terkecuali, imun, dan takkan terjebak. Jangan sombong dan bongkak, risau jugak kalau-kalau Allah duga kita pula. Nah, baru kita tahu rasanya. Ada kalanya manusia bisa saja kalah oleh emosi dan mainan perasaan, sehingga hilanglah sebentar akal warasnya dek penangan cinta. Lebih selamat utk kita berhati-hati, mengingati diri dan bersyukur saja kalau kita tidak diuji dengannya.



Dari aspek personal values, saya sendiri beranggapan tidaklah ada keperluan untuk menyelongkar kembali 'lost love' itu bilamana ketika ini kita telah memiliki keluarga sendiri. Memang seronok nak mengingati nostalgia lama, yang care and free itu, tapi pertimbangan baik buruknya untuk membuka semula cerita lama adalah satu episod lain yang perlu dipertimbangkan. Apakah lost love reunion kali ini, akan menjadikan kehidupan kita bertambah baik atau sebaliknya? Apa yang akan kita hilang? Yang akan kita dapat? Ada timbang tara di situ. 

Lagi satu, pada saya perlukah kita mengorbankan kasih sayang pasangan kita sekarang untuk mengejar cinta lama? Pasangan yang terbukti berdiri teguh dibelakang kita ketika susah senang? Yang telah terbukti cinta dan kasihnya? Dapatkah kita pastikan, cinta lama itu adalah sama seperti dulu? Jatuh cinta semula adalah perasaan yang indah, ia buat kita bersemangat dan rasa happy. Kerap ini tidak kita rasai bilamana kita telah lama berkahwin atau mempunyai hubungan romantik yang stabil, tapi adakah bermakna cinta itu tiada atau pudar? Tidak. Jadi, bila ada seseorang berjaya menyentik semula 'the giant within', 'semangat' yang hilang itu, kita jadi terkesima sekejap. Manisnya kembali merindu, manisnya kembali bermadah sayang, manisnya menyulam kasih..berbeza dengan pasangan yang ada sekarang, yang bualnya lebih banyak tentang tanggungjawab keluarga yang kadang-kadang merimaskan. Sesekali kita merindui diri kita yang lama, rasa dihargai, dirindui, diingati...

Tapi berpijaklah dibumi nyata...

Begitu mudahnya lost love reunion ini berputik kembali adalah kerana kita tidak nafikan kerana wujudnya kecanggihan teknologi masa kini terutamanya media sosial dalam memberi satu bentuk komunikasi baru tanpa batas. 

Kita dah tak perlukan surat-menyurat. Ingat tak zaman kita dulu? Saya pernahlah merasa sekejap, waktu cinta monyet, menanti-nanti kedatangan surat cinta dari kekasih yang jauh. Boleh cam bunyi moto posmen, posmen pun boleh agak dah kita tunggu surat dari siapa. Tersengih-sengih sambil hulurkan sampul surat dan kita pun tersenyum malu kerana kantoi tunggu surat dari mata air. Oh, terasa outdatednya! Now, yang menjadi orang tengah bukan lagi abang posmen, tapi wechat, facebook, instagram, whatsapp! Dulu adalah jugak waiting period, aduh, penat tunggu surat datang. Now, in a split second, dah boleh antar sms/pictures. Dalam erti kata lain, social networking yg ada sekarang, membantu menyuburkan kembali cinta yang terkambus itu. Bermula dari reunion, akhirnya berkembang group whatsapp, dan akhirnya personal sms. Jauh lebih mudah kan? Janji ada personal handphone, direct terus kepada kita. Orang pun susah nak detect. 

Ada kajian mendapati biasanya lost love reunion affair ini cenderung berlaku ke atas individu yang mempunyai isu dengan perkahwinan/pasangan sekarang. Dalam erti kata lain, orang yang bahagia dan berpuas hati dengan perkahwinan yang ada kurang terjebak dalam cinta lama ini. Telah ada isu/masalah berlaku dalam rumahtangga yang ada sekarang hingga ia membuka kepada pintu-pintu kecurangan. Tapi ada juga yg mengatakan, kembalinya cinta lama bukan disebabkan oleh masalah dalam hubungan sedia ada, tapi ia lebih kepada satu pertembungan 'cinta' pada era yang berbeza yg pernah terjadi dalam kehidupan individu, tapi bertembung pada masa sekarang. Sebab tu kadang-kadang ada yang buat relationship status fb jadi 'its complicated'. Huhu. Dua-dua sayang, dua-dua dicintai, tapi malangnya wrong timing. Tet!!!

Kajian juga mendapati ada individu yang menjalinkan hubungan semula dengan kekasih lama kerana mereka mahukan 'closure'. Dalam psikologi, hubungan yang berakhir tanpa ending jelas biasanya akan meninggalkan kesan yang agak lama. Misalnya kekasih yang hilang tanpa khabar berita, or memutuskan hubungan tanpa memberi alasan. Ini contoh-contoh kes yang boleh menyebabkan unfinished business. Jadi, ada juga yang menghubungi cinta lama kerana mahukan closure - penamatan. Tapi bukan penamatan yang diperolehi, sebaliknya renew cinta lama itu jadi baru semula. Haha. Naya. Lagi-lagi, bila didapati pasangan itu menghilangkan diri kerana bukan kemahuan sendiri/faktor luar seperti dipaksa kahwin dengan orang lain atau kerana salah faham semata-mata. 

Kajian juga mendapati, hanya 5% pasangan berkahwin, mengakhiri perkahwinan mereka untuk bersama kekasih lama. Walau sekuat mana pun kita mahu bersatu, tapi jalan ke arah itu bukanlah semudah itu. Sanggupkah berkorban dan hilang segala-galanya? Kehidupan yang telah berpuluh tahun dibina demi untuk kembali kepada kekasih lama? Biasanya, lost love reunion affair akan berakhir dengan tragedi. 



Jadi, ada baiknya, biarlah yang lama itu berlalu pergi. Sudahi sebaik mungkin. Cinta zaman remaja walau ia paling indah pernah berlaku dalam hidup kita, adalah sejarah - there is no do over. Masa lepas yang tidak kembali. Tapi pandanglah hadapan, jika anda bahagia dengan kehidupan sekarang, mengapa runtuhkannya? Teringat satu bait lirik lagu omputih klasik...

A fool would loose tomorrow, wishing back for yesterday...






Saturday, April 1, 2017

Senaman Ibu Mengandung


Satu perkara yang sering dialami oleh ibu-ibu hamil ialah keletihan dan penat. Walaupun belum lagi mencecah 3 trimester, rasa mengah itu tetap ada dan rasa keletihan yang agak luar biasa walaupun tidak begitu aktif melakukan apa pun selain kerja-kerja rutin biasa. Napping itu memang kena ada. Macam saya, memang kena nap tengah hari. Jika tidak, saya balik dalam keadaan penat sangat dan akhirnya jam 8 malam saya dah tertidur kepenatan. Napping membantu saya kekal bertenaga, sekurang-kurangnya sehingga malam jam 10-11 malam. 

Selain menjaga pemakanan, kecergasan ibu hamil juga satu keutamaan. Sejak mengandung, saya berhenti melakukan senaman. Cuma now, baru nak start balik. Of course, kaedah senaman itu dah berbeza berbanding masa masih kosong. Bila mengandung, corak senaman kena bersesuaian dgn keadaan kita yang berbadan dua, tidak boleh terlalu ekstrem kerana boleh menjejaskan keadaan kandungan dan juga mudarat kecederaan. So, saya tempek di sini video senaman untuk ibu-ibu hamil cuba. Berdurasi 10 minit sahaja, senaman ringan ini sesuai untuk semua peringkat kehamilan anda. Cuma kena ada dumbbell yang sederhana berat. Cara kreatif saya, kebetulan dalam bilik ada 2 botol air mineral 1.5 liter penuh belum diminum, so saya gunakan saja botol ini sebagai pengganti. Hehe. Dah try and it feels good. Tak lama pun 10 minit, rasanya ibu-ibu boleh saja luangkan masa setiap hari 10 minit untuk melakukan senaman ini. Lebih baik dari langsung tak bersenam, rasa lesu semacam. 

Happy weekend! 






Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...