Memetik ringkasan berita dari Sinar Harian berhubung kejadian malang sekumpulan remaja berbasikal dirempuh kereta sehingga menyebabkan 8 kematian pada 18 Februari 2017 lalu:
JOHOR BAHRU - Lapan remaja maut dipercayai dirempuh kereta jenis Nissan Almera di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian 3.00 pagi itu turut menyebabkan dua lagi remaja kritikal dan enam mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kesemua mangsa berusia 13 hingga 17 tahun.
"Pemandu wanita berusia 22 tahun sudah ditahan untuk sisatan lanjut dijalankan.
"Mereka sekumpulan 30 hingga 40 orang selalu melakukan aktiviti berbasikal di bandaraya ini.
"Kawasan kejadian dipercayai jenis berbukit dan gelap," katanya pada sidang media di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Aminah, di sini, tadi.
Kejadian tersebut turut viral dalam laman sosial Facebook.
Susulan kejadian ini pelbagai pandangan diberi oleh netizen. Pelbagai pendapat didengar. Of courselah, mula mencari 'siapa salah' dalam isu ini?
Ibu bapa?
Jiran/komuniti setempat?
Polis?
Cikgu sekolah?
Remaja sendiri?
Bila ibu bapa hebat kena kritik, mereka mempertahankan diri dengan mengatakan 'bukan tak pernah ditegur..bukan tak pernah dilarang..tapi...'
Bila carik salah pihak polis sebab kurang pemantauan, pihak polis mengatakan "dah jenuh kena kejar, jenuh kena tegur, basikal kena ambik pun dah..tapi sekejap sahaja berhentinya..kemudian ada lagi."
Carik pulak cikgu sekolah. Ada saranan mengatakan pihak sekolah perlu memainkan peranan lebih aktif, kena mengenalpasti pelajar-pelajar yang terlibat dengan geng basikal ini. Cikgu pulak mengeluh; "takkan itu pun kami kena buat? Setakat mana kemampuan kami mencegah? Siapa yang beli basikal utk anak-anak ini? Siapa yg benarkan anak-anak ini keluar malam? Siapa bagi anak-anak ini duit untuk ubah suai basikal jadi basikal lumba?"
Lepas tu, ada pulak coverage isi hati remaja yang antara lain mengatakan "Tolong jangan pertikai minat kami..."
Adeh-adeh-adeh...dah sebijik macam lagu bangau oh bangau..
Habis siapa salah???
Ini pandangan saya:
Pertama sekali, ia perlu bermula di rumah. Ibu bapa lah kena main peranan. Saya bersetuju dengan netizen yg mempertikaikan bagaimana anak-anak ini boleh berkeliaran di luar rumah pada jam 2-4 pagi? Remaja ini tidak tidur di balai polis, tidak juga tidur di sekolah..tapi di rumah. Di rumah ada ibu bapa/keluarga. Ada atau tidak kita sbagai ibu bapa menegah anak-anak untuk tidak keluar malam? Adakah kita anggap anak-anak keluar rumah malam-malam ini sebagai normal dan biasa? Adakah ibu bapa sudah terlalu lenient dalam aspek mendisiplinkan anak-anak sehingga buat apa pun okay? Memang ada pengecualian dalam kes-kes tertentu, di mana telah ditegah, dilarang, dimarah, dipukul pun ada, tapi nakalnya masya allah, tak berhenti. Tapi dasarnya, ibu bapa yang lain pula bagaimana? Adakah anda biarkan anak-anak berpeleseran di luar rumah sehingga malam-awal pagi?
Saya dibesarkan oleh ibu bapa yang tegas. Saya jarang menikmati apa itu sleep over di rumah kawan walaupun kadang2 saya jeles rakan lain boleh buat. Keluar malam pun amat jarang sekali melainkan ada aktiviti-aktiviti sekolah. Selain itu, sajer-sajer nak keluar waktu malam memang tidaklah. Malam saya habiskan di rumah, tengok tv atau buat keje sekolah. Maksudnya, jika ibu bapa saya tidak bertegas dan mengikut kehendak saya, mungkin saya pun akan berpeleseran di luar malam-malam.
Terbaca jugak kenyataan ahli keluarga mangsa yang memberikan izin anaknya keluar malam kerana anaknya mengatakan malam itu ada 'Final Lap'. Ibunya berkata, izinkan sahaja walaupun dia sendiri tidak jelas/faham apa itu Final Lap. Tolonglah, ambik berat aktiviti anak-anak. Kalau tak faham apa anak-anak buat, luangkan masa untuk tanya, selidik. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna...
Pihak polis telah menjalankan tanggungjawab mereka. Telah ada rondaan, teguran, nasihat diberikan kepada remaja ini, amaran pun sudah, basikal dirampas pun sudah. Tapi, sejauh mana pihak polis boleh bertindak? Akhirnya berbalik kepada ibu bapa juga. Ibu bapa mempunyai pengaruh dan kuasa yang lebih besar dari pihak polis utk menghalang anak dari terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Takkan tak pernah nampak anak-anak ini join main basikal? Ibu bapa boleh sahaja memberi amaran dan nasihat agar tidak keluar malam untuk bermain basikal, dan menyekat aktiviti tersebut pada waktu-waktu tertentu sahaja seperti petang atau ketika cuti sekolah.
Komuniti juga berperanan. Terbaca komen netizen dan beberapa video awal sebelum kejadian yg mempaparkan aktiviti basikal remaja ini secara merbahaya di jalan-jalan besar waktu malam/awal pagi. Mereka mengatakan aktiviti ini telah menjadi satu budaya remaja di situ sejak sekian lama. Jadi, apa peranan ahli masyarakat kat situ? Ada tak diadakan mesyuarat, diadakan pelan cadangan dan pencegahan bagaimana mencegah remaja ini terlibat dengan aktiviti berisiko ini? Selain mengharapkan pihak polis, orang kampung/kejiranan ada tak memainkan peranan proaktif berkerjasama dengan polis dan ibu bapa memantau aktiviti remaja di luar? Atau ambik pendirian anak orang bukan anak aku?
Ibu bapa mengakui kewujudan kelab basikal ini dikawsan mereka. Peliknya, takde dipertikaikan aktiviti kelab ini yang mengayuh basikal jauh-jauh malam sehingga awal pagi. Siapa pengasas kelab ini? Adakah dia sedar tentang risiko bahaya yang menunggu masa untuk berlaku? Adakah dia sedar, sedang membawa sekumpulan remaja bawah umur yg masih bersekolah, minor, melakukan aktiviti merbahaya di jalan-jalan besar? Atau main angguk-angguk saja tanpa menyelidik lebih lanjut?
Remaja masih perlukan bimbingan walaupun dari aspek lain merasakan diri mereka telah besar dan boleh membuat keputusan sendiri. Tiada salah mempunyai hobi berbasikal. Tapi perlu dipertimbangkan banyak perkara seperti kesesuaian waktu aktiviti itu dilakukan, tempat, dan sebagainya. Jika kena tempatnya, ibu bapa takkan menghalang. Memang remaja minat berbasikal. Tapi kalau sampai berlumba di jalanan, mengayuh dan beraksi dalam keadaan berbahaya, pada waktu-waktu tidak sepatutnya, remaja boleh fikir sendiri akan risiko yang lebih besar daripada manfaat yg kedapatan darinya.
Kadang-kadang saya terfikir, apa yang tidak kena pada institusi keluarga kita pada masa kini? Adakah ibu bapa terbeban dengan pelbagai perkara lain sehingga anak-anak ini dengan sendirinya terabai dalam banyak aspek? Atau ibu bapa masa kini merasakan cukup untuk memberikan keperluan asas, dan biarlah orang lain pula tolong mendidik anak mereka apabila mereka di luar? Apakah ibu bapa sekarang ini kepenatan dengan kehidupan sehingga sudah tak mampu untuk mendidik anak seperti zaman kita dahulu?
Ini sekadar pandangan saya, kita mungkin berbeza pandangan. Setiap kita dalam masyarakat, perlu memainkan peranan penuh tanggungjawab, dan tak boleh lepas tangan. Insiden ini memberi satu pengajaran bahawa, perlunya semua pihak kerjasama membendung kejadian sama berulang. Kepincangan salah satu pihak, akan menyukarkan masalah ini untuk diatasi.