Sunday, May 29, 2016

Mati dan berharganya masa yang ada


Kematian jarang menggembirakan, sebaliknya menghadiahkan luka dan kekosongan berpanjangan, tempat yang tidak akan dapat diganti balik, memori yang akan kekal abadi, yang setiap kali mengenangnya sebak itu pasti ada, dalam kemanisan memori itu, terselit kesedihan bahawa yang kita kongsi memori bahagia itu telah tiada buat selamanya...



Itu yang saya rasa bila menerima berita kepergian adik Irwan Ahmad, felo di pusat saya semalam. Arwah yang saya kenal sebagai bekas pelajar psikologi dan kini menjadi sebahagian warga PPPPM sebagai kakitangan akademik. Perginya arwah dalam keadaan mengejut, tanpa kami tahu sakitnya, tahu-tahu dapat berita arwah meninggal jam 2 petang. Dari maklumat rakan-rakan arwah, memang dia menghidap sakit leukimia beberapa tahun sebelum ini namun kami rakan sekerja beliau tidak mengetahui akan hal tersebut. Arwah pandai simpan rahsia, tidak ditunjukkannya sakit itu sehingga ke akhir. 

Tapi kebanyakan kami rasa sebak dan ralat, kerana tidak berkesempatan menziarah apatah lagi memberi kata-kata semangat semasa arwah memerlukan sokongan kawan-kawan. Tidak sempat mengucap selamat tinggal, tidak sempat memohon maaf mungkin ada kesilapan dan kekasaran bahasa sepanjang berkawan. Kejutan yang tidak terjangka. 



Kematian..(sigh), bila fikir fragilenya hidup manusia. Muda tidak bererti panjang lagi perjalanan hidup, ntah esok lusa giliran kita. Begitu juga, sihat bukan bererti banyak lagi masa, mati tidak kira semua itu. Bila ajal tiba, maka pergilah kita tidak kira berapa usia kita, sihat sakitnya kita dan amal kita adakah telah cukup bersedia....

Kematian juga menyedarkan kita hidup ini terlalu singkat untuk kita habiskan begitu sahaja dengan pelbagai perkara lagha. Setiap momen itu penting, setiap masa itu berharga. Kerana kita tidak pernah tahu bila masa Allah menjemput kita. Janganlah kita pergi dalam keadaan terlalu banyak unfinished business, dalam keadaan Allah tidak redha, dalam keadaan orang lain tidak redha, dalam keadaan kita sendiri belum bersedia. Kematian juga peringatan, yang hidup ini bagaimana perjalanannya. Betul sudahkah jalan yang kita pilih, masihkah kita mengelamun mengejar dunia yang tidak pernah puas? atau kita cuba terbaik menjadikan hari ini menjadi hari terbaik dalam segala hal?? 


Semalam yang sudah jadi sejarah..
Esok yang belum pasti ada untuk kita...
Cuma hari ini..
Tapi manusia selalu fikir, kita sentiasa ada masa....

Hargailah setiap detik dan nafas yang ada ini. Berikanlah yang terbaik untuk diri dan orang lain. Moga perginya kita dalam keadaan kita redha dengan diri sendiri dan orang lain mengenang kebaikan kita..dan Allah redha.

Sesungguhnya mati itu pasti..
Kita semua akan merasai mati..
Cuma bila..itu yang masih menjadi rahsia...


No comments:

Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...