Friday, July 14, 2023

Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini



Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup
Keluhan di luar sana adalah real 
Saya sendiri merasakannya
Walaupun dua-dua bekerja
Gaji yang agak selesa walaupun bukan kaya
Tapi terasa sangat
Bila membeli barang-barang keperluan dapur, tak penuh pun troli dah RM200-300. Lebih-lebih lagi yang ada anak-anak kecil dan bersekolah. Bayaran pengasuh dan taska bukan murah sekarang ni lagi-lagi di bandar-bandar. Untuk anak dua orang seperti saya:

Muaz - sekolah PASTI RM350
Muqri - pengasuh RM450
Lampin Muqri - RM60 
Susu Muqri - RM500

Ini saja cecah RM1000 jugak. Sekolah Muaz dah antara yang yuran paling mampu milik dah tu. Saya hantar Muaz ke PASTI kerana silibusnya dan mereka ada daycare sehingga petang. Susu Muqri, sebab dia anak bekeperluan khas, dia perlu susu formula khas untuk membesar dengan baik. Dia menyusu dengan susu formula Pedisure sejak dia di hospital lagi. Itu pun naik berat badan dia tak banyak, tapi konsisten naik dengan susu ini. 

Itu anak-anak sahaja. Kita bercakap anak dua orang jer nih. Belum lagi anak-anak di universiti, anak-anak sekolah rendah/menengah. Masya Allah, memang cabaran betul membesarkan anak-anak zaman serba mahal ini.

Ini belum lagi hal komitmen bulanan bil-bil yang tetap perlu dibayar seperti rumah, kereta, bil letrik, bil-bil lain. Aish. Peniaga pula bila saya baca perkongsian di FB pun tengah struggle bertahan. Jualan merudum dan tak macam dulu kerana semua orang berjimat cermat. Nilai duit RM yang jatuh memang menjadikan kuasa beli menurun. Dengan jumlah wang sama, apa yang kita boleh beli tahun sebelumnya dah banyak berkurang berbanding tahun ini. 

Membayangkan bagaimana rakyat lain, yang kerja biasa-biasa, ada anak dan keluarga hendak bertahan dalam situasi begini. Memang kena ligat berfikir hendak mencari sumber kewangan lain. Moga kawan-kawan semua bertahan dan saya doakan kita semua dapat mengharungi saat ini dengan baik dan dapat keluar dari kemelut ekonomi sekarang. 

Monday, July 3, 2023

Bahagia Setelah Berpisah

Salam, Lama dah tak mencoretkan sesuatu di sini. Ntah ada yg membacanya atau pun tidak, terasa seperti blog sekarang bukan lagi santapan khalayak. Kita lebih senang dengan tik tok, instagram, twitter dan facebook untuk mencoretkan segala rasa yang ada. dan mungkin blog ini hanya catatan sepi dan pilihan warga yg hampir tua seperti ku sahaja. last sekali hantaran nukilan ialah feb, iaitu bulan pemergian arwah Ahmad Danial. Masih bersedih dan terkenang, terutamanya suami. Tapi sekuat mana pun menahan takdir, yg terjadi tetaplah terjadi. tinggal kita menyusuri hari dan menanti giliran masing-masing. hari ni aku ternampak gambar terkini bekas abang ipar ku. terasa lamanya kami tidak berhubung, sehingga hari ni. aku tak bermusuh pun dengannya. aku rasa perpisahan dan perceraian itu kerja dan urusan Allah, jodoh yang telah Allah tetapkan setakat mana. Masing-masing pun telah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Bahagia seadanya. Membawa kepada persoalan ku pagi ni, masih adakah bahagian setelah berpisah? kadang-kadang kita begitu dangkal dalam mendepani hari depan. kita ingat kita boleh ramal semua perkara, boleh pastikan apa yang kita jangka akan berlaku. kadang kita terhukum oleh persepsi sendiri. tapi kehidupan baharu kakak dan bekas abang ipar sendiri. memberi aku satu keyakinan bahawa, bahagia selepas berpisah itu mungkin saja berlaku. kadang kita terlalu takut kepada jangkaan sendiri. tapi tidak akan pernah kecewa mereka yg bersangka baik kepada Allah. waima kejadian itu tidak kita ingini berlaku. tapi jika berlaku jugak. kita kena bersangka baik bahawa hikmahnya itu tetap ada. jika tak nampak, bersabarlah, kerana tidak semua hikmah itu nampak terus di depan mata kita. kadang-kadang2 ia berlaku lama selepas terjadinya sesuatu. kematangan dalam mendepani perpisahan. untuk apa bermusuhan. kerana masing2 masih mempunyai anak yg mengikat ikatan sebagai ibu dan ayah. walaupun hubungan suami isteri itu lah berakhir dengan lafaznya talak. betapa ia memerlukan jiwa besar bahawa pada akhirnya. kita kena berdamai dengan takdir hidup kita. dan jalani hidup seterusnya dengan minda positif dan berharap. berharap ada sinar. dan kebahagiaan walau siapa pun yg Allah letak disisi kita sampai satu waktu, kadang2 usia dan pengalaman akan mengajar kita melihat sesuatu dengan hati yang lebih terbuka. bukan masanya memenangkan ego, menunjukkan kemenangan dan mencari kesalahan ada kalanya bukan itu yg kita cari. tapi ketenangan selepas keributan. kerana usia yg berbaki, kita mahukan ketenangan. enggan lagi dimomok oleh ribut kehidupan. nak tenang2 saja di usia yg berbaki ini. perlahan-lahan tinggalkan dunia dan isinya. tak semua perkara kita akan dapat dalam hidup ini. ada perkara kita terpaksa lepaskan. ada perkara kita redhakan sahaja. siapa pun kita, apapun 'drama'yg melatari hidup kita masing-masing tenanglah. bahawa hidup ini sementara cuma. kita sudah sedia ribut dengan cubaan di pentas dunia ini. ayoh kita istighfar, dan renungkan kehidupan sejenak. tarik nafas, lepaskan yang membuku di dada. dan lihatlah kehidupan keluar dari jangkauan duniawi semata. in sha allah ia membantu kita melihat apa jua pasang surut kehidupan dalam kaca mata yang lebih matang dan bijaksana. segalanya sementara cuma. dikesempatan yg ada teruslah cipta bahagia walau setelah luka.

Monday, February 27, 2023

Pergi Tanpa Pesan - Al Fatihah

 26/2/2023..

Ahad..

Hari yang suram buat keluarga kecil kami..

Abang kepada Muaz, Ahmad Danial telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan maut.

Panggilan telefon memecah hening pagi jam 2

Hati tidak sedap menerima panggilan tersebut, cepat-cepat bangunkan suami

Ternyata khabar yang diterima sukar dihadam mulanya

Cepat saja air mata meleleh dipipi

Ingatkan kemalangan biasa, cedera sahaja

Tapi mulut suami mengucapkan kata-kata 'meninggal' buat aku terkedu seketika

Suami blurr dengan perkhabaran itu

Dia pun terkejut yang amat

Aku sudah hilang mengantuk terus dengan khabar itu

Suami mundar mandir seperti ingin melakukan sesuatu tetapi fikiran dia entah ke mana

Aku hulurkan air dan minta dia minum untuk bertenang

Kemudian selepas kami bercakap beberapa ketika, dia lebih tenang dan mula membuat panggilan kepada anak yg lain

Sempat aku mengajak suami mengambil wudhuk dan bersolat hajat bersama

Aku berpesan..jika ini benar berlaku, mehlah kita buat solat hajat, doakan Danial, doakan urusannya dipermudahkan Allah, diampunkan dosanya

Abang ampunkan Danial..

Menitik lagi air mata

Seperti tidak dapat ditahan-tahan, segala memori yang melibatkan Danial menerjah minda

Wajah polosnya ketika kecil, keletahnya dan sikapnya menyantuni Muaz 

Cuma dengan Muqri saja belum berkesempatan kerana Muqri banyak habiskan masa di hospital dulu, dengan PKP segala bagai

Aku hanya mahu mengingatkan yg baik-baik untuk Ahmad Danial

Aku mahu mengekalkan ingatan yang baik-baik bagi setiap masa yang pernah diluangkan bersama

Kenangan bercuti di Melaka

Menjenguknya di asrama di Perak

Berjalan-jalan bersama

Terlalu awal pergi..tapi siapa kita untuk menidakkan jemputan Allah bila telah sampai waktunya

Emak akan ingat Danial sebagai anak yg polos

Jiwa muda yang penuh keinginan dan mahu mencuba

Namun jauh lebih dalam dari itu, Danial adalah anak yang baik dan polos seperti mana yang aku pernah kenal dulu

Emak maafkan awak Danial

Emak doakan awak

Emak sayangkan awak, 

Emak akan ingat kebaikan awak dengan Muaz dan dengan emak sendiri

Al-fatihah 


Ahmad Danial



Wednesday, January 25, 2023

Perlukah Terus Bermusuh Selepas Bercerai?

 



Cerita tentang cerai dan berpisah

Satu perkara yang pasti ialah perpisahan akibat perceraian adalah pengalaman yang pahit dan memberi kesan besar kepada orang yang menghadapinya..

Jarang orang yang berpisah ini GEMBIRA

Mungkin ada orang bercerai rasa gembira, tapi dalam kegembiraan itu pasti terselit juga kesedihan

Saya tidak dapat mengelak dari melihat kes Puteri Sarah dan Syamsul yang begitu viral di luar sana, dah hari-hari lalu fb dan instagram kita kot, nak tak nak tertengok jugak. Ada jugak saya terfikir untuk memberi komentar, tapi kemudian saya padam sendiri, apabila melihat komen ditinggalkan netizen, kesimpulan saya..awak takkan menang untuk berhujah mempunyai pandangan yang berbeza

Isteri-isteri di luar sana sedang beremosi dengan kes mereka..

Memang menangnya kita tahu kepada siapa..

Jadi dalam situasi begini saya memilih untuk melihat saja

Pengalaman sebagai kaunselor sekian lama buat saya belajar tentang satu perkara iaitu:

JANGAN BUANG MASA ORANG YANG MEMILIH UNTUK MEMBENCI ANDA [PERSPEKTIF], KERANA PENJELASAN ANDA HANYA AKAN SIA-SIA

Walau ada rasional dan mungkin kebaikan yang dilakukan seseorang, tapi disebabkan oleh wujudnya satu kebencian yang amat, maka orang takkan pandang kebaikan itu. 

Jadi, jangan buang masa untuk menegakkan hujah anda. Dalam keadaan begini, saya hanya ibaratnya makan popcorn and just watching the show.

Beginilah ya, 

Saya bagi sedikit pandangan tentang perceraian ini dan impaknya

Sebagai kaunselor saya berpeluang untuk mendekati orang dan menyelami pelbagai masalah kehidupan orang lain secara dekat, termasuk perceraian

Apabila perceraian, dilalui dalam suasana berkonflik, dendam dan kemarahan..biasanya ia akan menjadi sangat sukar buat pasangan dan anak-anak

Di sini kita akan saksikan pelbagai masalah wujud

-- suami enggan bagi nafkah

-- isteri tak bagi anak jumpa suami

-- suami/isteri saling menghasut anak-anak untuk membenci ibu/bapa mereka

-- sukar berkompromi dan bertolak ansur

- komunikasi untuk menguruskan keberadaan dan kebajikan anak kerap berakhir dengan pergaduhan tak berkesudahan


Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya nampak wajah anak yang kecewa, saya nampak wajah anak yang sengsara, saya nampak luka yang sangat dalam yang dirasai oleh anak-anak

-- mereka tertekan kerana berada dalam situasi toksik sebegini

-- mereka keliru untuk menyebelahi siapa? mereka sayang dua-dua, tapi mereka tak boleh nak luahkan, nanti ibu/ayah akan marah kerana tidak menyebelahi mereka

-- mereka sayang dan rindu kedua-duanya, tapi tak boleh bertemu bimbang hati ibu atau ayah terguris

-- mereka patut membenci seperti mana bencinya ayah/ibu mereka terhadap bekas pasangan masing-masing

Sampai ke mana dendam ini??? 

Perceraian dan memang pahit untuk semua orang,

Tapi perlukah kita memburukkan lagi keadaan?? 

You might as well, really learn to let go...bahawa jodoh itu setakat itu antara suami isteri tapi suami/isteri tadi masih ada hubungan sampai ke akhir hayat dengan anak-anak. 

Di sinilah kematangan, kebijaksanaan, dan kesabaran itu dituntut! 

Bagaimana kita menghadapi kehidupan seterusnya dengan seminima mungkin kesan buruk dari perceraian..

-- saling memaafkan

-- redha

-- sabar

-- saling muhasabah diri kita. Kita dah buruk di mata bekas pasangan masing-masing. Dah gagal jadi suami/isteri baik, jangan pulak kali ini kita jadi ibu bapa yang gagal. Gagal kawal emosi, gagal kawal diri, gagal meletakkan keutamaan kesejahteraan anak.

Siapa jer yg saja-saja nak bercerai kan???

Tapi kalau itulah kehidupan yang perlu ditempuh, maka bagaimana kita melaluinya dengan sebaik mungkin.

Usahlah bergaduh berpanjangan

Usahlah berdendam tiada kesudahan

Jodoh dah tiada..

Cariklah contoh pasangan bercerai yang boleh berdamai dan saling bekerjasama menjaga kebajikan anak sebagai panduan dan inspirasi anda. 

Kita tak tahu masa depan macam mana..

Mungkin satu hari nanti, bekas pasangan anda itulah yang banyak tolong anda jaga anak bila anda perlu ke overseas ke, atau sakit ker. 

Jadi sebelum nak bakar jambatan silaturahim ini, fikirklah dalam keadaan yang tenang. 

Monday, January 16, 2023

Kesedihan Yang Tertunta

 


Kadang-kadang,

Kita bersikap kejam tanpa kita sedar kepada orang sekeliling...

Bila seseorang mengalami musibah dalam hidup..

Cepat-cepat kita memberi nasihat percuma "kau tak payah sedih sangat, dia memang jantan tak guna. Berambus lagi baik!" atau "Buat apa kau sedih-sedih? Yang pergi memang dah ditakdirkan, nanti kau dapat pengganti, anak baharu, pengganti kepada si abang yang telah pergi." 

Baru nak bergenang air mata...dapat teguran 'eh, tak payah menangis. lap air mata tuh, tunjukkan diri kau kuat. Kau boleh!!"

Memang bila mendepani hidup kita semua kena kuat, sebab ujian kehidupan itu pasti.

Tapi kita sedang memaksa orang untuk menafikan emosinya ketika itu, atau merasai emosi kala itu dan move on begitu saja.

Percaya tak, semua emosi itu emosi sihat?? Ini termasuklah perasaan kecewa, sedih, pilu, kedukaan, dan kehilangan. Ia wajar ditangiskan. 

Dalam Islam pun ada tempoh idah, itu semua mengandung hikmah. Salah satunya memberi masa untuk kesedihan diraikan dalam sewajarnya, seperlunya. Apatah lagi jika hilangnya itu satu kehilangan besar yang merubah banyak perkara. 

Berapa banyak kesedihan dan kehibaan terpendam, akhirnya tidak pergi dan menghantui? 

Jadi, jika seseorang yang kita kenal berada dalam situasi ini, jangan bagi nasihat tergesa-gesa untuk dia berhenti dari emosi sedihnya. Beri ruang untuk bersedih, beri ruang untuk memahami apa yang hilang dalam dirinya, beri ruang untuk menerima realiti, beri ruang untuk membina kekuatan. Nama pun MEMBINA, ia adalah proses membina semula apa yang telah hilang, dan perlukan masa.

Sebaiknya, hulurkan tangan, jadilah bahu boleh bersandar untuk menangis, dan jadilah peneman perjalanan kehilangan itu. Jangan jadi sebahagian dari orang yang menyebar toxic positivity.

Kejujuran juga penting buat empunya badan. JIka sedih, jangan menafikan kesedihan. Bimbang, lakonan hanya berjaya seketika, nanti kehibaan itu datang semula, menuntut perhatian. Lalu menangislah seorang di bucu katil, takut nak pamerkan kesedihan, lantaran takut dilabel lemah, takut ego tercalar. 

Raikanlah setiap emosi, inilah perjalanan kehidupan yang penuh warna. Kadang-kadang warna itu tidak indah, kita tak suka episod hidup itu, tapi itulah kehidupan. Jalani dengan kejujuran. Kerana kejujuran kepada diri dan orang lain, adalah satu kebebasan. Ada kalanya pahit, tapi menyembuhkan. 


Thursday, December 29, 2022

Selamat Tinggal 2022, Selamat Datang 2023

 



Selamat Tinggal 2022, Selamat Datang 2023


Banyak perkara boleh berlaku dalam masa setahun. Kini masa yang sesuai untuk membuat refleksi pencapaian sendiri sepanjang tahun. Tak perlu busybody nak menilai orang lain, tapi renungkan kehidupan sendiri sepanjang tempoh ini. Adakah seperti yang diharapkan? Tercapaikan impian? Tertunaikan hasrat? Atau masih banyak lagi yang tidak sempat disempurnakan.

Awak...

Walaupun beratus list yang awak senaraikan sebagai your goals or wishlist for year of 2023, segalanya tak bererti tanpa kesihatan dan kudrat. Ketika saya merenung sendiri apa yang saya hendak capai tahun hadapan, saya terdetik di hati bahawa segalanya akan terasa sia-sia tanpa kesihatan. Kesihatan itu nikmat Allah yang sering kita ambil mudah. Tanpa kesihatan, tidak bererti azam dan segala pelan itu. Jadi bersyukurlah jika masih sihat, kerana ia bererti Allah masih memberi banyak ruang dan peluang untuk mencapai perkara-perkara keduniaan dan akhirat. Jika sakit, segalanya tersekat dan terhad. 

Saya sudah 40an, dan saya melihat sekeliling saya insan-insan yang sudah mulai sakit, dan uzur dalam waktu-waktu kehidupannya. Bila dah sakit, kita dah tak ingat dah pasal goals, wishlists bagai ni. Tiada makna dah kereta mewah, tiada makna rumah besar. Kita hanya nak sihat agar kita dapat menjalani hidup normal semula dan menikmati momen-momen bermakna dalam hidup. 

Jadinya awak...

Kejarlah impian awak tahun 2023 ini dengan rasa syukur terlebih dahulu, berterima kasih kepada tuhan atas nikmat sihat dan peluang untuk terus sihat dan mencipta legasi-legasi awak sendiri untuk dikenang bila awak tiada lagi. Masa kita singkat, usia kita terhad, jadi pilihlah menjalani kehidupan yang bermakna dan boleh dikenang dengan senyuman. 

Jika tahun ini negatif untuk awak, banyak kesalahan dan perbuatan sia-sia awak buat

Bangkit dan kembali kepada jalan yang lebih baik

Pilihlah jadi manusia yang hidupnya disayang, matinya dikenang, dan Allah sayang. 

Moga 2023 menjadi tahun yang bererti dalam hidup awak. 



Sunday, October 2, 2022

Revelan kah lagi blog?

 Salam,

My first post in 2022 ialah awal tahun ini, wow, dek kesibukan dan tiada mood untuk mencatat di blog maka bersawanglah blog saya untuk kesekian kalinya.

Relevankah lagi blog ini pada era yang segalanya dicurahkan di media sosial - facebook, instagram, tik tok, twitter ini??

I have no answer. Tapi as for me, saya akan datang balik ke blogspot untuk sekadar mencatat sesuatu dalam fikiran, blog seperti satu diari terbuka yang saya post dan harap boleh kongsi dengan beberapa khalayak yang mungkin terserempak dengan blog saya. 



Blog saya bukan untuk mengumpul peminat, follower dan sebagainya, lebih kepada ruang peribadi saya untuk bercerita dan berkongsi, bila saya nak berkongsi. 

Bila scroll rakan2 blogger saya, ramai yang sudah tidak aktif menulis di blogspot, ada yang 9 tahun lalu menulis di blogspot kali terakhir, tapi saya tahu sangat aktif di media social dengan ribuan followers! Nah, situasi berubah, pilihan berubah...dan itulah kehidupan. Perkara yg dulunya popular, mungkin satu waktu akan hilang popularitinya, digantikan dengan sesuatu yang lain. 

Bagi yang lalu di blog saya, membaca catatan saya, saya nak ucapkan, semoga hari anda baik-baik ajer hari ini. Jalanilah hidup dengan baik, dan doakan kebaikan utk diri dan orang lain.

Have a nice day!


Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...