Pernah tak dengar orang pernah berkata, jika nikmat yang besar pun kita susah nak syukuri, apatah lagi nikmat yang kecil. Dan quran surah ar rahman, Allah dalam firmannya berkata: 'Nikmat yang mana satu yang engkau dustakan?" Jika kita menghitung satu persatu nikmat yang Allah kurniakan, nescaya tidak terhitungkan.
Bila cakap tentang nikmat, kita seringkali mencongak yang besar-besar sahaja, sedang kita terlupa, perkara sekecil zarah pun sebenarnya adalah nikmat dan rahmat. Nikmat bukan sekadar dikurniakan kesihatan tubuh badan, pasangan, harta benda, anak, malah lebih dari itu, yang pada pandangan kasar seperti tidak signifikan tetapi signifikan, seperti nikmat tubuh badan yang boleh berfungsi dengan sempurna, tangan yang boleh menulis, menghayun, menggaru, mencubit juga menampar (hehe). Itulah termasuk dalam nikmat tuhan yang kita selalu tidak sedar.
Mendengar azan berkemundang tanpa halangan dan sekatan, itu termasuk nikmat Allah, percayalah. Pengalaman belajar di Melbourne satu waktu dulu menyedarkan saya tentang nikmat yang satu ini. Nikmat hidup beragama, nikmat hidup dalam komuniti Islam, nikmat mengunjungi kedai yang rata-ratanya menghidangkan makanan halal, nikmat membeli belah tanpa risau tanda halal!!! Itulah nikmat hidup di Malaysia yang kita tidak sedar sehinggalah kita hidup dalam komuniti yang tiada semua itu.
Dulu,sewaktu di Melbourne punyalah rindu nak mendengar azan berkumandang, saya bukak youtube and cari azan semata-mata nak dengar orang azan. Masa itulah saya terpersona dengan azan misyari al afasy. Di sana, kalau bukan kerana jam ditangan, dan jadual waktu azan, maka mudah saja terlupa masa untuk bersolat. Tapi di Malaysia, kita sering kali ambil mudah, kerana kita diingatkan oleh azan di masjid/surau. Itulah nikmat sebenarnya.
Azan dari imam masjid besar masjidilharam kegemaran saya ialah misyari al afasy. Azan subuhnya sungguh lunak merdu dan mendayu-dayu, menjemput jiwa dan roh untuk bersujud pada tuhan. Dan mengingatkan kita bahawa bangkit bersembahyang itu jauh lebih baik daripada tidur. Astro Ria rupanya menggunakan azan dari suara misyari al afasy, terus teringat Melbourne. Cakap dengan husband, inilah azan yang selalu saya mainkan di youtube waktu di Aussie. Salam subuh untuk semua.