Wednesday, November 16, 2016

Tiada Yang Sempurna




Satu perkara yang saya suka mengenai profesion kaunselor ialah peluang dan ruang mendengar keluhan dan permasalahan orang lain. Pada saya, ada banyak hikmah tersembunyi untuk diri kaunselor juga. Paling utama ialah, peluang untuk selalu muhasabah diri, memperbaiki diri dan belajar daripada pengalaman orang lain. Yang baik-baik kita contohi, yang tidak baik, kita jadikan pengajaran, jangan buat kesilapan serupa. Kita juga jadi matang kerana pengalaman klien-klien kita. Kita dengar macam-macam. Jadi, secara tidak langsung, ia mendidik hati untuk lebih tabah kot menghadapi ujian peribadi. Kerana selalu ada bisikan positif pada diri seperti: 

"Jangan mengharap hidup ini indah2 belaka. Kerana sepanjang hidup dan profesion kaunselor ini, tiada manusia tanpa masalah!"

Jika hidup kita ini ada gelak tawa, disulami sedih, kecewa, pahit manis...itulah sesungguhnya lumrah kehidupan seorang manusia. Tidaklah saya bertemu klien yang hidupnya indah-indah belaka melainkan datanglah juga ujian ke atasnya, dan tidaklah seseorang klien itu berendam air mata sepanjang hayat, tanpa ada sedetik juga saat-saat menggembirakan. Nah, cuma jenis ujian yang kita dapat sahaja berbeza-beza. 

Saya melihat diri saya juga turut mengalami perubahan sedikit, iaitu dari aspek kecenderungan minat untuk mengkaji kes. Misalnya, saya kini lebih terbuka untuk mendalami kaunseling perkahwinan. Mungkin juga fasa hidup saya berubah sejak beberapa tahun ini, terutamanya fasa perkahwinan dan rumahtangga, menjadikan isu rumahtangga semakin dekat di hati. 

Bagi seorang kaunselor, yang kerap berhadapan dengan pelbagai kes-kes klien, kita boleh nampak pattern atau corak yang konsisten dalam satu-satu kes. Itulah namanya pengalaman. Pengalaman memberi pengetahuan dan kemahiran. Misalnya, bila bercakap tentang perkahwinan, apa yang boleh saya katakan ialah tiada perkahwinan yang sempurna. Setiap pasangan dalam sesuatu perkahwinan datang bersamanya kelemahan dan kelebihan. Kita kena realistik dalam jangkaan. Jangan terlalu mengidealiskan apa itu perkahwinan dengan begitu banyak pengharapan 'SEHARUSNYA, SEPATUTNYA, MESTI MACAM NI...' kerana jangkaan-jangkaan seperti inilah kerap kali akan mengundang kecewa. Kecewa yang mengundang rasa tidak puas hati, yang kemudian mengundang pula marah. 



Pentingnya penerimaan seadanya. Jika ada kelemahan, niatkan dalam hati, sama-sama untuk berubah dan mengubah. Biarlah berdikit-dikit, asal ada usaha dan kemajuan, syukur alhamdulilah. Siapa kita untuk mengharap berkahwin dengan manusia seperti malaikat? Sedang diri sendiri pun masih culas sana sini, tapi kita meminta suami/isteri kita jadi seorang yang sempurna. Stresnya kalau kita diminta jadi sempurna. Meminta kesempurnaan senang, tapi memenuhi kesempurnaan bukan mudah. 



Jika ada kelemahan sikit-sikit itu, janganlah perbesarkan. Kompromi. Ada lagi baiknya dalam aspek-aspek yang lain. Namun ada pengecualian juga, misalnya ada risiko jika kita memilih pasangan yang kita tahu ada masalah besar seperti panas baran, menghisap dadah, kaki perempuan, dan suka berhibur di luar. Perkara-perkara seperti ini memerlukan pertimbangan serius sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Mengapa? Pengalaman kes-kes yang saya kendalikan, kebanyakan tabiat-tabiat ini tidak terhenti dengan berkahwin. Jadi, kena fikir panjang-panjang untuk teruskan. Jangan nanti kita dipersoal balik oleh ibu bapa:

"kau dah tahu dia tu panas baran tak hingat..yang kau nak jugak kahwin dengan dia tu kenapa? Dulu bukan aku dah pernah warning kau ker? Tulah, ikut sangat hati..cintalah sangat."

Tapi kalau ada kelemahan seperti suami jenis pendiam, pemalu, introvert, tak romantik, rasanya boleh lah lagi dikompromi. Mungkin itu kelemahannya, tapi kalau bab-bab tanggungjawab dia tak culas, maka bersyukurlah, masih ada banyak lagi kebaikan pasangan berbanding kelemahannya. Tiada perkahwinan yang sempurna. Tapi, setiap hari adalah perjuangan untuk menjadikan perkahwinan itu sesempurna mungkin. Syukuri yang kecil, kita akan lebih menghargai nikmat yang lebih besar.

No comments:

Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...