Sunday, July 19, 2009

Katakan tidak pada skim cepat kaya

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui Internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.

Serbuan tersebut dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang setelah syarikat-syarikat terbabit disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Mengikut maklumat daripada laman web, secara umumnya syarikat-syarikat tersebut menetapkan bayaran minimum RM1,000 sebagai deposit untuk pendeposit menyertai bidang perniagaan seperti pengiklanan, pelancongan dan perkhidmatan.

BNM dalam satu kenyataan di sini memberitahu, syarikat terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd., Jazmeen (M) Sdn. Bhd., Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. dan Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. —-ini contoh syarikat penternakan lembu

Buluhmas yang beribu pejabat di Tanjung Karang, Selangor dalam laman webnya mendakwa ia memiliki 700,000 ahli sebagai pembayar deposit di seluruh negara.

Kaedah perniagaannya menggunakan promoter untuk mengiklankan aktiviti syarikat dengan menampal pelekat yang tertera logo syarikat atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pendeposit.

Sekitar pukul 9.30 malam ini, laman web Buluhmas masih boleh dilayari yang menunjukkan sejak April lalu ia telah menerima hampir 250,000 pengunjung.

Sementara itu, Jazmeen dalam laman webnya mendakwa dengan permulaan modal sebanyak RM1,000, pendeposit mampu mendapat pulangan 120 peratus dalam tempoh 12 bulan pertama dan jumlah itu terus bertambah pada tahun-tahun berikutnya.

BNM dalam kenyataannya menambah, tindakan ke atas keempat-empat syarikat itu diambil setelah Unit Penyiasatan Khas BNM menjalankan siasatan terhadap aktiviti syarikat berkenaan.

“Kesemua penganjur skim pelaburan itu akan ditahan selepas BNM merekodkan kenyataan mereka kerana disyaki mengambil deposit secara haram dan menjalankan aktiviti penggubahan wang haram,” jelas kenyataan itu.

Seorang jurucakap BNM ketika dihubungi memberitahu, jumlah sebenar ahli terlibat dan nilai deposit yang dikumpulkan oleh keempat-empat syarikat itu hanya akan diketahui apabila kes mereka dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit.

Katanya, jika sabit kesalahan pegawai dan pemilik syarikat-syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjara untuk tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram.

Jika disabitkan kesalahan, mereka yang didakwa boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan BNM, skim pelaburan yang dianjurkan oleh keempat-empat syarikat yang diserbu hari ini menyatakan kononnya ia berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, pelaburan luar persisiran dan saham-saham lain.

Dakwaan itu, kata BNM, hanya rekaan semata-mata.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan skim yang ditawarkan melalui Internet, panggilan telefon atau seminar yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan oleh BNM,’’ jelas kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengetahui senarai syarikat dan institusi berlesen yang menerima deposit dengan melawat laman web BNM di www.bnm.gov.my.

———————————————————————————————–
Apa kesimpulan yang dapat dibuat daripada berita diatas? Saya bercakap bohong atau siapa yang bercakap bohong.

(Terdapat beberapa komen dalam pos saya pada 16 Jun yang mempertahankan skim cepat kaya dalam penternakan yang tidak dapat saya siarkan kerana terlalu kasar)

Saya sebenarnya sudah bosan dan lali apabila orang yang menceburi skim-skim sebegini mempertikaikan saya kerana beranggapan saya budak mentah dan tidak tahu apa-apa. Sehinggakan ada penyokong skim sebegini yang menyuruh saya bersumpah atas nama Allah bahawa saya bercakap benar.

Saya tidak perlu pun bersumpah seperti mana Anwar Ibrahim sendiri tidak lakukan, kerana saya bercakap atas fakta dan belajar daripada orang yang lama dalam dunia perniagaan dan kewangan.

Saya tidak perlu menunggu skim sebegini diserbu barulah saya tersedar bahawa saya ditipu. Sejak dari mula lagi saya sudah menangkap perkara ini dan tulisan saya pada 16 Jun lalu kini dibuktikan benar.

Bagi yang masih mempertikaikan saya, biarlah saya beritahu, antara mentor saya dalam perniagaan adalah bapa saya sendiri yang berpengalaman berbelas tahun dalam dunia kewangan dan seorang saudara saya iaitu Dato’ Salleh (bekas pengerusi KFC Holding).

Malah saya pernah bertanya pada Dato’ Salleh pengalaman beliau menguruskan KFC, beliau katakan sedangkan KFC yang menternak ayam secara besar-besaran (kontrak farming) pun mencatatkan keuntungan yang sederhana, bagaimana orang yang baru menceburkan diri dalam penternakan boleh memberi dividen kepada pelabur sehingga 10 peratus setiap bulan atau 120 peratus setahun?!!!

Ini bermaksud jika dividen pun sudah 120 peratus setahun, berapa nilai keuntungan sebenar mereka? Mesti lebih 120 peratus setahun dan bagaimana syarikat yang baru begini begitu hebat boleh memberikan pulangan sedemikian ditambah dengan keadaan ekonomi semasa sekarang yang lesu.

Sehingga tahap ini, masih ada lagi orang yang mempertahankan syarikat penipu sebegini hanya kerana syarikat ini berlindung disebalik operasi perniagaan yang sah. Bukan sahaja penternakan, ada juga skim cepat kaya yang berselindung di sebalik operasi pelancongan dan lain-lain.

Untuk pengetahuan anda juga, sepupu dan bapa saudara saya mempunyai syarikat agensi pelancongan iaitu Yaskin Travel & Tours Sdn Bhd dan Maslin Travel & Tours Sdn Bhd. Mereka sendiri memberitahu saya dalam agensi pelancongan yang melibatkan bisnes servis, kadar keuntungan paling tinggi pun 15 peratus. Dan bisnes pelancongan amat bergantung pada keadaan ekonomi semasa dan politik.

Sepupu saya sendiri memberitahu walaupun syarikatnya mendapat tempahan oleh agensi kerajaan, tetapi dizaman harga kegawatan ekonomi ketika ini, kerajaan mengawal bajet dengan ketat dan beliau tidak boleh bergantung semata-mata pada kontrak kerajaan.

Jadi, saya hairan dan masih kecewa kerana terdapat segelintir orang masih yakin dan percaya akan skim sebegini. Pada mereka, janji selepas mereka melabur mereka merasa yakin dan semua pendapat orang lain diketepikan. Memanglah mereka boleh memberitahu saya,


“Kalau benar tipu, kenapa tiada tindakan pun diambil kerajaan?”
“Kalau tipu, mengapa saya masih mendapat bayaran?”.
“Ini bukan Swiscash, mereka mempunyai perniagaan yang nampak dan jelas!”

Dan saya ingin menjawab, memang tiada tindakan diambil kerajaan selagi tiada laporan dibuat. Macam kalau saya merompak rumah anda, tetapi anda tidak membuat laporan polis. Adakah pihak polis akan mengambil tindakan?

Masalahnya sama dengan skim sebegini, mereka merompak wang anda secara terhormat dan dengan keizinan anda. Pada zaman ini, orang yang pergi merompak bank dan memecah rumah adalah perompak yang yang ketinggalan zaman, sedangkan cara paling senang ketika ini adalah dengan merompak melalui skim cepat kaya.

Sesungguhnya, skim cepat kaya mana yang tidak membayar ahlinya. Kalau tidak, awal-awal lagi sudah lingkup. Ia bukan berkaitan masa sama ada ia membayar selama sebulan, dua bulan, setahun, ia berkaitan wang tersebut yang tidakpun dilaburkan dalam perniagaan. Ia hanya berputar-putar dan bergerak dalam satu tempat. No value added!

Akhirnya mereka akan tumbang juga. Itu sahaja. Kesannya, pelabur juga yang bakal merana.

Percayalah, perompak zaman moden seperti Skim Cepat Kaya tidak akan terpekik-pekik dan melolong mengatakan mereka sedang merompak wang anda. Apa yang mereka perlukan adalah sedikit kepandaian dan juga tarikan yang mampu menghilangkan waras orang ramai.

Dahulu memang kita popular dengan skim seperti Swisscash, dan sekarang pun skim tersebut tetap sama, cuma ditukar modus operandi dengan bersembunyi di belakang perniagaan yang sah seperti penternakan lembu dan sebagainya.

Sebenarnya anda tidak perlu menunggu skim sebegini diserbu barulah ingin tersedar. Jika ada yang mengatakan kepada anda, “Ala, ini 4 syarikat sahaja tidak betul,sebab tu keluar paper, syarikat XXXX lain, mereka benar, tengoklah hanya 4 syarikat dalam berita diatas sahaja diserbu, syarikat XXXX tidak pun diserbu”.

Jawapannya mudah sahaja, “Modus operandi sama sahaja tidak kiralah jika syarikat XXXX itu tidak diserbu. Apakah anda mahu menunggu sehingga habis wang simpanan dikorek barulah hendak tersedar. Berhentilah bangun dari lamunan.”

Cukuplah sekali ditipu. Kata orang, jika kita dipatuk ular oleh lubang yang sama 2,3 kali, itu petanda yang amat buruk sekali.

W.M.Syazwan

sumber: http://www.saifulsham.com/


1 comment:

TRIMATRA said...

islam juga mengharamkan cara niaga seperti itu sejak 1300 tahun yang lalu.

Kos Hidup 2023 - Kerasnya Hidup Tahun Ini

Sesungguhnya tahun 2023 memang terasa sekali KERASnya kos hidup Keluhan di luar sana adalah real  Saya sendiri merasakannya Walaupun dua-dua...